Press Releases

MCMC Rampas Peralatan Komunikasi Tidak Standard

    CYBERJAYA, 29 Mac 2016 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merampas sejumlah peranti komunikasi di sebuah hotel di Seri Manjung, Perak baru-baru ini kerana disyaki menggunakan peranti komunikasi yang tidak mematuhi keperluan standard teknikal.

    Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, tujuh set peranti CCTV tanpa wayar (wireless CCTV) tidak berjenama itu bukan sahaja tidak mematuhi standard di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) bahkan tidak pernah diperakui oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd. Kesemua peranti komunikasi tidak standard itu telah dirampas untuk membantu siasatan manakala rakaman kenyataan pengurus hotel terbabit juga telah diambil.

    Aduan telah diterima daripada pemberi perkhidmatan, Packet One Networks (P1) mengenai gangguan frekuensi yang telah menjejaskan perkhidmatan terhadap pelanggan syarikat telekomunikasi di kawasan tersebut. Hasil ujian frekuensi oleh MCMC mendapati, punca gangguan frekuensi yang dimaksudkan itu berpunca daripada beberapa unit CCTV tanpa wayar yang dipasang di sekitar kawasan tempat letak kereta hotel tersebut.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan mereka yang didapati mengguna, memiliki atau mengedar apa-apa kelengkapan atau peranti tidak standard boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    MCMC juga ingin mengingatkan orang ramai agar tidak membeli atau menggunakan peranti atau kelengkapan komunikasi yang tidak mempunyai label pemerakuan MCMC kerana ia turut dikategorikan sebagai peranti atau kelengkapan yang tidak standard. Pengguna boleh memeriksa produk komunikasi mereka menggunakan aplikasi mudah alih “Check Your Label’ untuk memastikan sama ada produk itu mempunyai sijil sah dan tulen.

Related Content