Media & Events

MCMC Iktiraf Pencapaian Cemerlang Industri Penghantaran

27 Apr 2017
PUTRAJAYA, 27 April 2017 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Persatuan Syarikat-Syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC) buat pertama kalinya menganjurkan Simposium Penghantaran E-Dagang dan Anugerah Industri 2017 di Hotel Marriott, Putrajaya. Ia dirasmikan oleh YB Dato’ Jailani Johari, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.
 
Program ini selari dengan matlamat Kerajaan di bawah Pelan Halatuju Strategik E-Dagang Kebangsaan yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 13 Oktober 2016 dengan sasaran peningkatan pertumbuhan e-dagang dari 10% pada 2016 kepada 20% pada 2020.
 
Simposium ini telah berjaya mengumpulkan pakar-pakar dari pihak industri dan agensi-agensi Kerajaan seperti MITI, MDEC, Pos Malaysia, GD Express, DHL Express, Lazada dan Google bagi membincangkan kaedah-kaedah terbaik bagi memperkukuhkan lagi ekosistem e-dagang dan kualiti perkhidmatan penghantaran kepada para pengguna di seluruh negara.
 
Pada majlis yang sama, YB Timbalan Menteri turut menyerahkan lesen perkhidmatan pos yang baharu kepada Pos Malaysia bagi tempoh 20 tahun bermula 1 Oktober 2016. Di samping itu, sepuluh syarikat baharu turut menerima lesen perkhidmatan kurier bagi tempoh tiga tahun.
 
Majlis Anugerah Industri Penghantaran E-Dagang turut diadakan di sebelah malamnya bagi memberi pengiktirafan kepada individu dan pemain industri yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2016. Empat anugerah utama yang dipertandingkan adalah Anugerah Keselamatan Jalanraya Terbaik (Best Road Safety); Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat Terbaik (Best Corporate Social Responsibility), Anugerah Inovasi Terbaik (Best Innovation), dan Anugerah Kecemerlangan Operasi Terbaik (Best Operational Excellence).
 
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha yang berterusan MCMC bagi memastikan pemain-pemain industri sentiasa menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di seluruh negara.
 
 
[TAMAT]
Share this article
Follow