Media & Events

MCMC: 7 Pembekal Kandungan Dikenakan Tindakan Dan Kompaun, Standard Mandatori Diperketat

07 Nov 2015
 

CYBERJAYA, 7 November 2015 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap beberapa pembekal kandungan yang melanggar undang-undang berhubung dengan perkhidmatan Kandungan Mudah Alih.

Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian, Penguatkuasaan dan Advokasi MCMC, Zulkarnain Mohd Yasin berkata, 7 pembekal kandungan setakat ini telah dikompaun sehingga RM300,000. Menurutnya, 3 pendakwaan telah dikemukakan ke mahkamah dan jumlah hukuman yang dikenakan adalah sehingga RM67,000. Manakala, 4 kes lagi masih dalam siasatan untuk pelbagai kesalahan di bawah Standard Mandatori.

Jelas beliau, tindakan melanggar Standard Mandatori adalah satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“MCMC memandang serius perkara ini dan sentiasa komited untuk menangani punca masalah tersebut. Kami sentiasa mengawal selia perkhidmatan kandungan mudah alih khasnya perkhidmatan jenis langganan kepada pengguna menerusi platform Penyedia Perkhidmatan Selular agar hak dan kebajikan pengguna tidak teraniaya.

“Selain tindakan kompaun, MCMC juga telah mengarahkan pelaksanaan sistem pencegahan dan penyediaan platform ‘preventive system’ oleh pihak Penyedia Perkhidmatan yang mampu menyekat penyebaran spam SMS yang berbayar kepada telefon pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkarnain turut memaklumkan, arahan telah dikeluarkan kepada pihak Penyedia Perkhidmatan untuk menggantung kod ringkas yang terlibat, memulangkan semua wang yang dicaj kepada pengguna selain mengeluarkan nombor-nombor telefon pengguna yang terbabit daripada pangkalan data mereka. Sepanjang tempoh penggantungan berkenaan, pihak Penyedia Perkhidmatan yang terlibat tidak boleh menjalankan aktiviti menerusi kod ringkas itu,” tambah Zulkarnain.

Dalam aspek advokasi pula, beliau turut memberitahu, MCMC bersama-sama dengan Forum Pengguna Malaysia (CFM) mengadakan program-program advokasi berhubung perkhidmatan kandungan mudah alih. Setakat awal Oktober 2015 lalu, sebanyak 33 program advokasi telah dilaksanakan di seluruh negara.

MCMC, ujarnya, kini sedang memuktamadkan pendekatan terperinci dan menyeluruh mengenai aspek penguatkuasaan selain memperketat Standard Mandatori untuk perkhidmatan kandungan mudah alih. Antara usaha-usaha yang diambil termasuk peruntukan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang melanggar Standard Mandatori, pindaan kepada Pelan Alamat dan Penomboran Elektronik (NEAP), kajian semula Standard Mandatori untuk perkhidmatan Kandungan Mudah Alih, subkod mengenai Standard Mandatori untuk perkhidmatan Kandungan Mudah Alih serta Standard Mandatori untuk sistem bil pihak ketiga.

TAMAT/

 


 PDF

Share this article
Follow