Media & Events

Malaysia Di Kedudukan Ke-8 Di Rantau Asia Pasifik Dalam Indeks Pembangunan ICT 2015

01 Dec 2015
MALAYSIA DI KEDUDUKAN KE-8 DI RANTAU ASIA PASIFIK DALAM INDEKS PEMBANGUNAN ICT 2015

CYBERJAYA, 1 Disember 2015 --- Langganan jalur lebar mudah alih yang tinggi di dalam negara telah menyumbang kepada kedudukan yang lebih baik kepada Malaysia daripada tangga ke-9 (pada 2014) kepada tangga ke-8 di rantau Asia Pasifik dalam Indeks Pembangunan ICT (IDI) 2015.

Di peringkat global, Malaysia kini berada pada kedudukan ke-64 daripada 167 ekonomi. Malaysia berada pada kedudukan ke-71 pada 2014.

Untuk sub-kategori Penggunaan pula, kedudukan Malaysia turut meningkat 12 anak tangga ke tangga ke-54 berbanding dengan kedudukan ke-70 pada 2014. Peningkatan kedudukan untuk kategori Penggunaan ICT banyak didorong oleh langganan jalur lebar mudah alih yang kian meningkat.
“Penggunaan perkhidmatan digital di Malaysia dan peningkatan penggunaan kandungan menerusi peranti mudah alih oleh pengguna telah menyebabkan peningkatan kedudukan ini,” kata Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi Strategik, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Sheikh Raffie Abd Rahman.
 
“Trend ini dijangka akan berterusan untuk tempoh 12 bulan akan datang memandangkan semakin ramai pengguna menggunakan kandungan ‘on-the-go’ dan menjalankan transaksi menggunakan peranti mudah alih mereka,” tambah Sheikh Raffie.
 
Dikeluarkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) pada Isnin di Persidangan Telekomunikasi/Simposium Indikator-Indikator ICT ke-13 yang sedang berlangsung di Hiroshima, IDI mengukur pelbagai indikator secara menyeluruh  ke atas 167 ekonomi seluruh dunia.
 
Laporan tahunan Measuring the Information Society Report keluaran ITU yang turut dikeluarkan pada masa yang sama mendedahkan, seramai 3.2 bilion rakyat kini berada dalam talian, mewakili 43.4% daripada jumlah keseluruhan penduduk dunia manakala langganan selular mudah alih telah mencecah hampir 7.1 bilion seluruh dunia, dengan lebih 95% daripada jumlah penduduk kini diliputi dengan perkhidmatan selular mudah alih.
 
Menurut laporan berkenaan, kesemua 167 ekonomi yang dirangkumkan dalam IDI, memperlihatkan peningkatan daripada segi nilai IDI mereka antara 2010 dan 2015 – bermakna tahap akses Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), penggunaan serta kemahiran terus bertambah baik di seluruh dunia.
 
Laporan Measuring the Information Society Report diiktiraf secara meluas di seluruh dunia sebagai penerbitan data global dan analisis mengenai perkembangan pembangunan ICT dunia yang paling adil dan boleh dipercayai. Ia juga digunakan secara meluas oleh kerajaan-kerajaan, pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, bank-bank pembangunan dan para penganalisis sektor swasta di serata dunia.
Share this article
Follow