Media & Events

Komuniti Pintar Kota Belud Fokus Kepada Enam Aspek

13 Aug 2016

KOTA BELUD, 13 Ogos 2016 --- Inisiatif Komuniti Pintar Kota Belud yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal menyaksikan Kota Belud menjadi penanda aras dan model pembangunan kepada daerah-daerah lain di negeri Sabah.

Dibangunkan dan berpaksi kepada tujuh prinsip utama yang antara lain menekankan kepada peranan peneraju tempatan dan pendekatan dari bawah ke atas, enam program teras telah digariskan untuk merealisasikan agenda berkenaan. Enam program teras yang dimaksudkan itu ialah usaha meningkatkan infrastruktur komunikasi, pembangunan aplikasi dan kandungan, pembangunan industri keusahawanan dan pelancongan, pusat internet, penambahbaikan perkhidmatan pos dan sistem pemantauan keselamatan dan paras air sungai.

Di bawah program meningkatkan infrastruktur komunikasi umpamanya, kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur terhadap perkhidmatan jalur lebar serta capaian liputan 3G dan 4G Long Term Evolution (LTE) sedang dilaksanakan di Kota Belud. Hasilnya, sehingga suku kedua 2016 yang lalu, akses penduduk setempat kepada perkhidmatan 2G, 3G dan LTE telah meningkat dengan perkhidmatan 2G mencecah 86%, perkhidmatan 3G sebanyak 75.4% dan 6.1% untuk LTE.

Selain itu, projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) yang sedang dilaksanakan di Kota Belud dijangka memberikan manfaat kepada penduduk setempat. Dalam konteks ini juga, empat buah Pusat Internet yang didirikan di daerah Kota Belud iaitu Kg Rampayan Laut, Suang Punggor, Tamu Darat dan terkini di Pekan Kota Belud turut memberikan peluang kepada masyarakat setempat mempelajari teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) untuk memudahkan urusan seharian mereka.

Penganjuran pelbagai program pembangunan kandungan tempatan dan aplikasi seperti MYkomunitikreatif, Program Skrip ke Skrin, Bengkel Pembangunan Aplikasi dan Lego secara tidak langsung turut menggalakkan budaya inovasi dan kreativiti kalangan komuniti setempat dalam usaha memajukan kehidupan mereka. Hasil daripada penganjuran program-program sedemikian sebelum ini telah menyerlahkan kemampuan dan bakat masyarakat setempat jika mendapat bimbingan yang betul dan sokongan yang sewajarnya.

Sektor pelancongan Kota Belud turut menerima tempiasnya dengan pelaksanaan inisiatif Komuniti Pintar ini. Buktinya, pelbagai produk kraftangan dan pakej pelancongan kini dapat dipasarkan menggunakan Internet dengan wujudnya perkhidmatan internet di Pusat Internet 1Malaysia dan aplikasi mudah alih yang dicipta. Perkembangan ini bukan sahaja memberi kesan rantaian ekonomi kepada Kota Belud bahkan juga sumber pendapatan tambahan kepada penduduk.

Masalah sistem perhubungan telekomunikasi yang sering terputus dan penyelarasan semasa musim banjir turut mendapat perhatian MCMC. Hasil usahasama dengan pihak swasta, sebuah sistem rangkaian radio kecemasan VHF telah dibangunkan. Manakala, Sistem Pemantauan Keselamatan dan Paras Air Sungai melibatkan pemasangan sensor di beberapa batang sungai dan 12 unit kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar pekan Kota Belud akan membolehkan keadaan banjir dipantau secara terus oleh pihak berkuasa.

Kota Belud menjadi lokasi terbaharu selepas Kemaman yang dipilih untuk pelaksanaan inisiatif Komuniti Pintar sejak inisiatif tersebut diperkenalkan sejak awal 2015 yang lalu.

Perasmian Hari Komuniti Pintar dan Pusat Internet 1Malaysia Pekan Kota Belud disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak dan disaksikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal-Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid; Pengerusi MCMC, Dato’ Sri Dr. Halim Shafie dan Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gari Itam. Turut dirasmikan pada majlis tersebut ialah Bangunan Perpustakaan Negeri Sabah cawangan Kota Belud.

TAMAT

Share this article
Follow