Media & Events

Kerajaan Timbang Cadangan Perkenal Kerangka Perundangan Tangani Masalah Berita Palsu

14 Feb 2017
KERAJAAN TIMBANG CADANGAN PERKENAL KERANGKA PERUNDANGAN TANGANI MASALAH BERITA PALSU  

CYBERJAYA, 13 Februari 2017 --- Kerajaan kini sedang mempertimbangkan cadangan untuk memperkenalkan suatu kerangka perundangan yang mana adalah menjadi satu kesalahan selepas ini untuk mana-mana pihak memuat naik kandungan bersifat menghina mahupun yang berbentuk pemalsuan maklumat di dalam Internet.  

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, cadangan tersebut timbul selepas pihaknya menerima banyak aduan daripada orang awam mengenai penyebaran kandungan berita palsu dan paparan menghina yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.  

Menurut MCMC, cadangan melaksanakan kerangka perundangan itu perlu untuk mewujudkan suatu suasana persekitaran penggunaan internet yang lebih sihat demi kebaikan pengguna dan masyarakat. Walaupun tindakan boleh diambil di bawah peruntukan akta sedia ada, kajian sedang dibuat mengenai keperluan memperluaskan peruntukan-peruntukan untuk merangkumi platform lain, umpamanya portal berita dalam talian.  

“Para pengguna adalah dinasihatkan untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu maklumat yang diterima sebelum dikongsi dalam media sosial. Sekiranya tidak pasti, rujuk terlebih dahulu maklumat yang diterima dengan agensi-agensi yang bertanggungjawab.   
 
Dalam konteks ini juga, para pengguna boleh turut memainkan peranan dengan melaporkan berita-berita palsu kepada pihak berkuasa untuk perhatian dan tindakan selanjut mereka,” ujar MCMC.  
Share this article
Follow