Media & Events

Industri Pos Dan Kurier Terap Lima Prinsip Utama Kurang Kadar Kemalangan

19 Nov 2017

INDUSTRI POS DAN KURIER TERAP LIMA PRINSIP UTAMA KURANG KADAR KEMALANGAN

SHAH ALAM, 19 November 2017 --- Kempen “Ikrar Saya” yang memberikan penekanan kepada lima prinsip utama iaitu Perlahan, Selamat, Senyap, Teliti dan Tekad merupakan antara elemen baharu yang diperkenalkan dalam Kejohanan Sampai Dengan Selamat 2017 yang berlangsung di Bulatan Bazarena, Shah Alam.
-
Pelaksanaan kempen berkenaan antara lain bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai murni kepada semua pekerja industri pos dan kurier selain menjadikan jalan raya suatu tempat yang lebih selamat. Kelima-lima prinsip yang dilafazkan itu memberikan penekanan kepada etika dan ciri-ciri keselamatan semasa berada di jalan raya dalam usaha melahirkan pemandu pos dan kurier yang berhemah.
-
Penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan pekerja industri pos dan kurier selari dengan Agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mengurangkan kadar kematian dan kecederaan di jalan raya sebanyak 50% menjelang 2020.
-
Selain itu, edisi keempat kejohanan Sampai Dengan Selamat ini turut menyaksikan pengenalan kategori baharu iaitu kategori pemandu lori untuk pekerja pos dan kurier. Di bawah kategori baharu ini, para peserta akan dinilai melalui ujian teori. Pada masa yang sama, dua kategori lain iaitu untuk pemandu van dan penunggang motosikal telah dikekalkan untuk edisi kali ini. Kesemua pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah sehingga RM15,000.
-
Sebanyak 12 syarikat pos dan kurier yang beroperasi di dalam dan luar negara seperti Yamato Transport dan DHL Express menyertai kejohanan berkenaan yang turut mendapat kerjasama daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Persatuan Syarikat-syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC). 
-
Kejohanan Karnival Sampai Dengan Selamat 2017 itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Sri Jailani Johari. 
-
[TAMAT]

Share this article
Follow