Media & Events

Tiga (3) Menara Komunikasi Baharu Di Kg. Pangkal Meleret, Kg. Jakar Dan (Cont')

06 Aug 2021
TIGA (3) MENARA KOMUNIKASI BAHARU DI KG. PANGKAL MELERET, KG. JAKAR DAN KG. PANGKAL MAK WAN, TEMANGAN, KELANTAN SIAP DIBINA, BERI KEMUDAHAN KEPADA PENDUDUK SETEMPAT

Kira-kira antara 1,000 hingga 1,500 orang penduduk Kg. Pangkal Meleret, Kg. Jakar dan Kg. Pangkal Mak Wan di Temangan, Kelantan kini boleh menikmati jaringan telekomunikasi 4G yang lebih baik selepas tiga (3) buah menara komunikasi baharu yang dibina di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah siap dan beroperasi sejak Jun 2021.

Perkembangan pelaksanaan projek di bawah pelan JENDELA di Temangan turut mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli bin Dato’ Haji Hassan yang membuat tinjauan di salah satu tapak menara komunikasi iaitu di stesen pemancar di Kg. Jakar, baru-baru ini.

Selain itu, kerja-kerja menaik taraf liputan kepada 4G di 23 stesen pemancar komunikasi sedia ada di Temangan sedang giat dilaksanakan. Terkini, 14 stesen pemancar telah siap dinaik taraf manakala baki selebihnya masih dalam pelaksanaan dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2022.

Dalam pada itu, perkhidmatan Pusat Internet Komuniti (PIK) Temangan yang dibuka semula, kini boleh dimanfaatkan oleh pelbagai pihak untuk menjalankan aktiviti seharian dan meningkatkan taraf hidup mereka seperti mengembangkan pasaran produknya.

PDF

 
Share this article
Follow