Media & Events

Rundingan Awam Rangka Kerja NDID Terima Sambutan Memberangsangkan

07 Sep 2020
Rundingan awam bagi mengumpul pandangan orang ramai terhadap pembangunan Rangka Kerja Identiti Digital Nasional (NDID) seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mendapat lebih 35,383 maklum balas, yang mana sebanyak 35,160 maklum balas adalah daripada orang awam.

Selebihnya terdiri daripada kementerian, agensi-agensi kerajaan serta organisasi swasta. Rundingan awam rangka kerja NDID ini telah berlangsung dari 13 Julai sehingga 7 Ogos 2020.

Keputusan rundingan awam mendapati, sebanyak 97% responden meramalkan bahawa NDID akan memudahkan proses pengenalan dan pengesahan pelanggan manakala majoriti responden pula menunjukkan minat untuk menggunakan NDID. Responden juga bersetuju bahawa NDID berpotensi untuk meminimumkan kos keseluruhan untuk proses pengesahan identiti.

Secara keseluruhan, 94% kementerian dan agensi menunjukkan minat dan memberi pandangan positif terhadap pelaksanaan NDID.

NDID adalah pengesahan identiti seseorang individu secara elektronik berdasarkan ciri-ciri biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah, iris dan maklumat demografik seperti nama dan tarikh lahir.

Hasil keputusan rundingan ini akan dipertimbangkan dalam menilai dan menambah baik kertas cadangan mengenai Rangka Kerja NDID yang sesuai untuk Malaysia. Berikutan kejayaan rundingan ini dan pembabitan yang menggalakkan daripada orang ramai, MCMC akan menggunakan platform rundingan seperti ini untuk berhubung secara aktif dengan rakyat bagi inisiatif-inisiatif lain pada masa yang akan datang.

PDF
Share this article
Follow