Media & Events

Rangkaian 3G Tamat Akhir 2021, Pengguna Digesa Beralih Ke 4G

25 Nov 2021
RANGKAIAN 3G TAMAT AKHIR 2021, PENGGUNA DIGESA BERALIH KE 4G

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekali lagi ingin mengingatkan  pengguna telefon bimbit atau peranti 3G agar segera beralih ke rangkaian 4G sebelum rangkaian 3G di Malaysia ditamatkan sepenuhnya pada 31 Disember 2021. Ini supaya perkhidmatan telekomunikasi mereka tidak terkesan yang akan menyebabkan mereka ketinggalan dalam gelombang pendigitalan. Pengguna yang masih memiliki kad SIM yang hanya menyokong rangkaian 3G disaran segera menghubungi penyedia perkhidmatan terdekat untuk menaik taraf ke 4G, bagi mengelakkan sebarang kesulitan. 
 
Penyelesaian penamatan rangkaian 3G ini seiring dengan usaha kerajaan meningkatkan liputan jalur lebar yang lebih menyeluruh dan berkualiti tinggi di bawah inisiatif Infrastruktur Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA). Ini bertujuan untuk mengguna semula spektrum yang sedia ada bagi mengukuhkan rangkaian 4G serta membolehkan penyedia rangkaian mudah alih meningkatkan ketersambungan digital dan memberikan pengalaman 4G yang lebih baik dan menarik kepada pelanggan dan isi rumah.
 
Peningkatan kualiti yang akan dapat dilihat merangkumi kelajuan data yang lebih tinggi, latensi rendah dan kestabilan rangkaian. Hasilnya, pelanggan akan dapat melayari Internet, menstrim video dan menikmati lain-lain perkhidmatan dalam talian dengan lebih baik dan lancar.
 
Setakat 30 September 2021, sebanyak 94.03 peratus kawasan berpenduduk mempunyai akses 4G, dengan perkhidmatan jalur lebar mudah alih pada kelajuan 31.34 megabit sesaat. Pihak penyedia perkhidmatan iaitu Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan U Mobile Sdn Bhd telah berjaya melakukan migrasi 1.2 juta pelanggan kepada 4G.
 
MCMC menggesa orang ramai dan syarikat-syarikat memanfaatkan inisiatif-inisiatif kerajaan bagi membantu peralihan ke rangkaian 4G dengan sebaik mungkin bagi menikmati kesalinghubungan jalur lebar yang lebih baik dan lancar. Antara inisiatif tersebut adalah Pakej Peranti Keluarga Malaysia dan Program Jaringan Prihatin yang membolehkan warganegara Malaysia memiliki atau menaik taraf peranti mudah alih terpilih yang bertaraf 4G VoLTE ataupun membeli pakej perkhidmatan data internet yang telah disubsidi oleh kerajaan dan penyedia perkhidmatan.
 
Pengguna digalakkan merujuk kepada penyedia perkhidmatan masing-masing untuk maklumat lebih lanjut.

 PDF

Share this article
Follow