Media & Events

Penduduk Kampung Mengkapon Di Pitas Bakal Nikmati Jaringan Telekomunikasi Lebih Baik Menjelang Ogos 2021

12 Apr 2021
KAMPUNG MENGKAPON, Pitas 12 April 2021 --- Para penduduk di Kampung Mengkapon, Pitas bakal menikmati jaringan telekomunikasi yang lebih baik selepas ini apabila proses pembinaan menara telekomunikasi baharu di kampung berkenaan siap sepenuhnya pada Ogos 2021 depan.

Pembinaan menara berkenaan yang dilaksanakan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) itu akan memanfaatkan penduduk di Pitas sekaligus mentransformasikan kehidupan penduduk setempat dalam mengharungi era digital yang semakin pesat.

Dengan kesalinghubungan Internet yang lebih baik susulan pembinaan menara telekomunikasi baharu, ia dijangka melonjakkan taraf hidup penduduk setempat di sana selain memudahkan penduduk untuk melaksanakan pelbagai urusan harian dan mempelbagaikan sumber pendapatan mereka. Dalam perkembangan berkaitan, Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Dato' Sri Dr Ruddy Awah (JP) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas bersama-sama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengadakan lawatan kerja ke Kampung Mangkapon baru-baru ini untuk memantau kerja-kerja pembinaan menara telekomunikasi baharu di kawasan berkenaan. Dalam lawatan kerja itu, beliau telah diberikan taklimat oleh MCMC dan pihak penyedia perkhidmatan yang dilantik mengenai perkembangan terkini kerja-kerja pembinaan menara baharu di kampung terbabit.


ADUN Pitas, YB Dato' Sri Dr Ruddy Awah (JP) (tiga dari kiri) sedang mendengar taklimat mengenai perkembangan terkini pembinaan menara telekomunikasi baharu Kampung Mengkapon, Pitas daripada penyedia perkhidmatan yang dilantik. Hadir sama ialah Pengarah MCMC Wilayah Sabah, Izani Othman (baju berwarna biru tua dan bertopi putih).

Pihak MCMC turut merakamkan penghargaan kepada YB Dato’ Sri Dr Ruddy Awah (JP) yang telah banyak membantu dalam mendapatkan kelulusan pemerolehan tapak untuk mempercepatkan pelaksanaan projek ini.

Sebanyak 50 menara telekomunikasi baharu sedang didirikan di Sabah. Daripada jumlah tersebut, 13 menara baharu adalah terletak di daerah Pitas di mana Kampung Mengkapon telah dikenal pasti sebagai salah satu lokasi untuk pembinaan menara berkenaan.


 PDF

Share this article
Follow