Media & Events

MCMC, Industri Telekomunikasi, Pos Dan Kurier Ganding Bahu Hantar Bantuan Kemanusiaan Bencana Alam

08 Dec 2019
MCMC, INDUSTRI TELEKOMUNIKASI, POS DAN KURIER GANDING BAHU HANTAR BANTUAN KEMANUSIAAN BENCANA ALAM
  • MCMC dengan kerjasama NADMA serta pihak industri telekomunikasi, pos dan kurier berganding bahu buat kali pertama dalam misi penghantaran bantuan kemanusiaan untuk mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur
  • Antara sumbangan yang dihulurkan adalah termasuk power bank, air minuman, selimut, kit penjagaan diri, serta barang kegunaan harian yang lain
 
CYBERJAYA, 8 Disember 2019 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), serta pihak industri telekomunikasi, pos dan kurier berganding bahu buat kali pertama dalam misi penghantaran bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di Pantai Timur pada petang Jumaat.

Rombongan misi bantuan kemanusiaan yang terdiri daripada 50 sukarelawan-sukarelawan itu telah berlepas dari Depoh Simpanan Pertahanan, Sungai Buloh melibatkan aset-aset termasuk enam (6) lori dengan muatan 52 tan yang membawa bantuan untuk lebih 5,000 mangsa banjir dalam bentuk barangan hasil sumbangan City-Link Express, GD Express Sdn Bhd, J&T Express, Line Clear Express & Logistics Sdn Bhd, Pos Malaysia dan Skynet Malaysia.

Antara syarikat telekomunikasi yang terlibat pula adalah Digi dan U Mmobile. Mereka telah menyumbangkan power bank, air minuman, selimut, kit penjagaan diri, serta barang kegunaan harian yang lain. Bantuan kemanusiaan ini telah tiba di Pasir Mas dan Tumpat, Kelantan, pada Sabtu.
Sementara itu, MCMC dengan kerjasama pihak industri telekomunikasi juga telah melaksanakan beberapa pelan simulasi sebagai persiapan untuk berhadapan dengan musim banjir yang sedang melanda beberapa buah negeri di dalam negara.

Penganjuran simulasi tersebut memberi penekanan kepada sektor komunikasi, pos dan kurier bagi memastikan impak ke atas aset dan perkhidmatan telekomunikasi adalah minimum, dan seterusnya menjamin kesalinghubungan ketika banjir.

Langkah-langkah proaktif seperti memastikan bilangan penjana mudah alih adalah mencukupi, menaik taraf infrastruktur komunikasi di pusat-pusat pemindahan serta meninggikan tapak-tapak yang terdedah kepada banjir telahpun diambil. Sektor pos dan kurier pula telah mengenal pasti lokasi-lokasi alternatif untuk penghantaran dan aset; kerahan tenaga manusia, bekalan tenaga sandaran dan bekalan-bekalan kecemasan turut diberikan perhatian.

Antara kawasan-kawasan yang terlibat dalam simulasi adalah Bukit Tampin, Negeri Sembilan bersama Telekom Malaysia, Bukit Jelutong, Selangor bersama Celcom, Felda Berabong, Pahang bersama Digi, Mak Mandin Jetty, Pulau Pinang bersama Maxis dan MSU Shah Alam, Selangor bersama U Mobile.

Simulasi secara besar-besaran turut diadakan di Kemaman, Terengganu dengan kerjasama NADMA, industri telekomunikasi, agensi-agensi tempatan, serta pos dan kurier.

Pada masa yang sama, orang ramai adalah diingatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan semasa musim banjir ini.
Langkah berjaga-jaga yang boleh diambil adalah seperti berikut:
  1. Elak daripada menggunakan peranti mudah alih untuk aktiviti penstriman atau muat naik dan muat turun bagi mengurangkan kesesakan rangkaian,
  2. Hadkan panggilan yang ingin dibuat kepada panggilan yang penting sahaja bagi mengelakkan kesesakan rangkaian suara,
  3. Hanya menggunakan telefon bimbit dan power bank untuk hal-hal penting sahaja,
  4. Jimatkan bateri telefon dengan mengurangkan kecerahan skrin dan tutup aplikasi yang tidak digunakan,
  5. Dapatkan maklumat terkini melalui hebahan semasa di stesen TV dan radio-radio tempatan,
  6. Ikuti akaun media sosial agensi-agensi kerajaan tempatan dan badan-badan berkaitan untuk maklumat terkini sebelum, semasa ataupun selepas bencana,
  7. Jangan panik dan membuat sebarang spekulasi di media sosial; dan
  8. Telefon 999 untuk menghubungi pihak Polis/Bomba/Hospital/Pertahanan Awam hanya jika anda menghadapi situasi yang mengancam nyawa.
 
Usahasama misi bantuan kemanusiaan ini akan dihulurkan ke negeri-negeri lain yang turut terjejas akibat banjir secara berperingkat.
 
Share this article
Follow