Media & Events

MCMC Ambil Tindakan Isu Liputan Internet Kampung Sapatalang, Pitas Di Sabah

17 Jun 2020
MCMC AMBIL TINDAKAN ISU LIPUTAN INTERNET KAMPUNG SAPATALANG, PITAS DI SABAH

Susulan kisah tular di media sosial tentang seorang pelajar universiti yang terpaksa bermalam di atas pokok untuk mendapatkan liputan telekomunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuat tinjauan di Kampung Sapatalang di Pitas, Sabah pada 15 Jun lalu.

Berdasarkan laporan yang diperolehi, terdapat sebuah menara telekomunikasi yang memberi liputan 3G dalam lingkungan 1.4 kilometer daripada kampung pelajar berkenaan. Liputan 3G tersebut membolehkan para pelajar mengambil peperiksaan secara dalam talian. Manakala untuk tujuan aktiviti penstriman pula, ia memerlukan liputan yang lebih tinggi.

Selain itu, sebuah menara telekomunikasi baharu telah dirancang untuk dibina di Kampung Bilangau Kecil yang terletak berhampiran dengan Kampung Sapatalang dan ia boleh dioptimumkan untuk meningkatkan liputan di Kampung Sapatalang sejurus siap didirikan. Menara telekomunikasi ini yang dibina di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) 1, dijangka siap menjelang suku kedua 2021.

Bagi memberi liputan yang lebih berkualiti di sekitar kawasan ini, MCMC telah membuat perancangan sejak awal tahun ini untuk menaik taraf liputan kepada 4G di bawah program Tabung Perkhidmatan Sejagat (USP).

MCMC sentiasa prihatin dengan keluhan masyarakat berkaitan kemudahan telekomunikasi terutamanya di kawasan luar bandar dan melakukan usaha berterusan untuk merapatkan jurang digital di seluruh negara.

PDF
 
Share this article
Follow