Media & Events

Masyarakat Orang Asli Ditemui Di Cameron Highlands Untuk Mendapat Maklum Balas Agar Dapat Menikmati Kemudahan Internet Lebih Baik

05 Dec 2020
MASYARAKAT ORANG ASLI DITEMUI DI CAMERON HIGHLANDS UNTUK MENDAPAT MAKLUM BALAS AGAR DAPAT MENIKMATI KEMUDAHAN INTERNET LEBIH BAIK

Kemudahan telekomunikasi di perkampungan orang asli di negara ini sentiasa dipertingkat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan masyarakat orang asli, khususnya generasi muda, tidak ketinggalan dalam era yang serba serbi digital.

Sehingga Oktober 2020, sejumlah 61 menara telekomunikasi telah dibangunkan dan memanfaatkan lebih ramai masyarakat orang asli di seluruh negara. Terkini, lapan (8) menara sedang dilaksana dan dijangka siap secara berperingkat bermula suku pertama 2021. Jumlah ini termasuk menara di Pos Lemoi dan Pos Kg Telimau di Cameron Highlands, Pahang. Sejumlah 11 menara telekomunikasi di sepanjang laluan Jalan Sungai Koyan sehingga Lembah Bertam, Cameron Highlands telah dinaik taraf daripada menggunakan teknologi Very Small Aperture Terminal (VSAT) kepada rangkaian gentian optik untuk liputan 4G. Sembilan (9) daripadanya, termasuk di dalam kawasan Pos Menson, telah siap dibina pada Oktober 2019 dan telah selesai dinaik taraf kepada liputan 4G pada 5 November lalu.

Ketua masyarakat telah ditemui oleh MCMC pada 4 Disember 2020 di Pos Menson untuk mendapat maklum balas kualiti pengalaman selepas penambahbaikan serta mendapat maklum balas keperluan bagi kampung yang berdekatan.

Penambahbaikan liputan dan kualiti perkhidmatan kepada 4G bagi kawasan Cameron Highlands akan giat ditingkatkan seperti yang dirancangkan dalam pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Usaha menaik taraf rangkaian telekomunikasi kepada perkhidmatan 4G akan membantu masyarakat orang asli di Pos Menson serta kampung sekeliling menikmati capaian Internet yang lebih baik. Ia dapat menyokong keperluan norma baharu yang mana liputan dan rangkaian 2G dan 3G terutamanya di kawasan luar bandar sememangnya tidak mampu menampung keperluan permintaan perkhidmatan komunikasi yang semakin meningkat.

Dengan terbinanya menara-menara telekomunikasi itu, masyarakat orang asli tidak lagi terpinggir dari dunia luar. Mereka boleh mendapat maklumat terkini, memperoleh ilmu pengetahuan, menjalankan urusan dengan kerajaan dan menjalankan perniagaan dalam talian sama seperti mereka yang tinggal di bandar.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Dato’ Saifuddin Abdullah memberitahu Dewan Rakyat, sejumlah 85 menara baharu dengan perkhidmatan 4G akan dibina di 136 perkampungan orang asli di seluruh negara bermula pada suku kedua 2021 melalui pelan JENDELA fasa 1. Sebagai badan yang bertanggungjawab, MCMC akan memastikan segala perancangan yang telah diatur dalam pelan JENDELA akan berjaya merapatkan jurang digital yang wujud antara masyarakat bandar, pinggir bandar dan luar bandar di negara ini.

PDF

Share this article
Follow