Media & Events

Kenyataan Media: Sebar Berita Palsu: Bekas Timbalan Menteri Dirakam Percakapan

11 Apr 2020
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakam percakapan seorang bekas timbalan menteri yang juga Ahli Parlimen di sebuah negeri di pantai timur kerana menyebarkan berita palsu menerusi satu rakaman video di laman Facebook beliau, kononnya berlaku situasi luar kawalan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI). 

Rakaman percakapan tersebut diambil di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK Polis Pahang pada pukul 9.00 malam, Jumaat, 10 April 2020.  Satu (1) unit telefon dan kad SIM turut dirampas daripada Ahli Parlimen tersebut untuk membantu proses siasatan. 

Beliau disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 atas penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan. Ahli Parlimen berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam, yang membawa hukuman penjara maksimum dua (2) tahun atau denda atau keduaduanya, jika disabitkan kesalahan.  

Memulakan atau menyebarkan berita palsu adalah satu kesalahan jenayah. PDRM dan MCMC memantau perkara ini terhadap mana-mana pihak termasuk orang-orang kenamaan, pengamal media dan media dalam talian yang menyebarkan berita palsu ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19.  Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat demi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. 

Sekiranya ragu-ragu mengenai kesahihan sesuatu berita, layari portal Sebenarnya.my atau pautan telegram iaitu https://t.me/sebenarnyamy.Maklumat mengenai penularan berita palsu mengenai COVID-19 turut boleh disalurkan melalui pautan ‘Salur kepada Kami’ iaitu https://sebenarnya.my/salur/ di portal dan aplikasi Sebenarnya.my. 
 
PDF
Share this article
Follow