Media & Events

Penduduk Kampung Kongsi 14, Bukit Selambau, Kedah, Bakal Nikmati Capaian Internet Mudah Alih (Con't)

30 Sep 2020
Penduduk Kampung Kongsi 14, Bukit Selambau, Kedah, Bakal Nikmati Capaian Internet Mudah Alih Tidak Lama Lagi

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama empat (4) penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama, iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile menghasilkan pelan untuk menyampaikan liputan ke kawasan Kampung Kongsi 14, Bukit Selambau, Kedah.

Penduduk kampung tersebut sebelum ini dilaporkan menghadapi masalah capaian Internet yang terlalu lemah sehingga menimbulkan pelbagai kesukaran untuk berhubung, belajar dan bekerja.

Pihak penyedia perkhidmatan akan mendirikan menara pemancar ssementara setinggi 30 meter untuk memberi liputan lebih baik di kawasan tersebut. Keempat-empat rangkaian telekomunikasi akan dapat diakses oleh penduduk melalui teknologi perkongsian pemancar yang dikenali sebagai Multi-Operator Core Network (MOCN). Ini merupakan kali pertama penggunaan teknologi MOCN di Semenanjung Malaysia yang menggabungkan keempat-empat syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Kerja penyediaan tapak, pemasangan dan pengaktifan menara sementara ini dapat diselesaikan dalam tempoh enam (6) minggu selepas memperolehi kebenaran daripada Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP). Penyedia perkhidmatan kini dalam proses menghantar permohonan kelulusan kepada MPSP.

Penyelesaian ini dicapai hasil beberapa siri lawatan dan perbincangan antara MCMC, penyedia perkhidmatan dan penduduk. Usaha ini turut dibantu oleh YB Wan Romani Wan Salim, Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia  Negeri Kedah.

PDF
Share this article
Follow