Media & Events

2,195 Laman Sesawang Judi Dalam Talian Disekat, 19,765 Talian Telefon Ditamatkan (Cont')

21 Apr 2021
2,195 LAMAN SESAWANG JUDI DALAM TALIAN DISEKAT, 19,765 TALIAN TELEFON DITAMATKAN SETAKAT MAC 2021 KERANA SPAM SMS TERMASUK PROMOSI JUDI DALAM TALIAN
 
Kegiatan perjudian atau promosi perjudian, sama ada secara fizikal mahupun secara dalam talian, adalah tertakluk di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yakni di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun demikian, kerjasama strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan PDRM telah sedia terjalin dalam usaha untuk membendung perjudian secara dalam talian.
Berkaitan isu ini, pendekatan yang diambil oleh MCMC adalah berupa tindakan pencegahan serta kempen kesedaran yang dijalankan secara berterusan bagi melindungi kepentingan dan keselamatan pengguna. Penguatkuasaan juga dilakukan bersama pihak PDRM.

Sehingga bulan Mac 2021 yang lalu, sebanyak 2,195 laman-laman sesawang yang didapati mempromosikan judi dalam talian telah disekat berdasarkan kepada permohonan rasmi yang dikemukakan oleh PDRM atas kesalahan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 selain maklumat yang diterima daripada orang awam.

Dalam pada itu, MCMC turut bekerjasama dengan pihak penyedia platform media sosial yang berpangkalan di luar negara seperti Facebook, Twitter, dan YouTube untuk menurunkan kandungan sedemikian mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan oleh pihak mereka.

Daripada aspek penguatkuasaan pula, MCMC telah menjalankan audit pengesahan data pelanggan talian telefon prabayar bagi memastikan semua nombor yang aktif disahkan dengan sewajarnya. Ini penting bagi mengelakkan nombor-nombor berkenaan disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan jenayah termasuklah tetapi tidak terhad kepada penipuan dan mempromosi judi dalam talian. Sehingga bulan Mac 2021 yang lalu, sejumlah 19,765 talian telefon telah ditamatkan atas kesalahan spam SMS yang mempromosikan judi dalam talian, pinjaman tidak berlesen dan lain-lain.

Selain tindakan pencegahan dan penguatkuasaan, perkara yang turut diberikan keutamaan oleh MCMC ialah usaha meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung aktiviti yang salah di sisi undang-undang, termasuklah kegiatan judi dalam talian. Antaranya, program-program advokasi pengguna menerusi kempen-kempen kesedaran di seluruh negara serta melalui hebahan media massa bagi memupuk kesedaran dan kewaspadaan orang ramai termasuklah golongan muda dan kanak-kanak agar mereka tidak terjebak dengan kegiatan judi dalam talian.

Sehubungan itu, MCMC memberi peringatan kepada pengguna media sosial agar lebih bertanggungjawab dengan tidak menyebarkan kandungan-kandungan sedemikian kepada orang lain kerana perbuatan menyebarluaskan kandungan itu hanya akan membantu secara langsung pihak yang terlibat dalam mempromosikan perjudian dalam talian yang boleh memudaratkan masyarakat Malaysia.

Sekiranya terjumpa sebarang kandungan yang mempromosikan perjudian dalam talian, para pengguna digesa untuk melaporkan secara terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.


PDF
Share this article
Follow