Media & Events

Tidak ada lagi pentauliahan peralatan 3G - SKMM

22 Jan 2021, Bernama

KUALA LUMPUR, 22 Jan -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak lagi memperakui peralatan 3G memandangkan negara ini mahu menamatkan perkhidmatan rangkaian itu menjelang hujung tahun ini.

Pengerusi SKMM Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata suruhanjaya itu telah pun memulakan usaha tersebut pada tahun lepas ketika negara mula bergerak ke arah rangkaian 4G dan seterusnya. 

''Kami telah memaklumkan kepada Jabatan Kastam, SIRIM dan semua agensi berkaitan bahawa kami tidak lagi memperakui peralatan 3G. Kami hanya akan membenarkan peralatan 4G dibawa masuk ke negara ini,'' katanya pada program Bernama TV, The Nation yang bertajuk 'Ke Arah Merealisasikan dan Mencapai Agenda Negara Digital'. 

Beliau bagaimanapun menjelaskan, bagi mereka yang masih menggunakan peralatan 3G, penyedia perkhidmatan masing-masing akan menawarkan pakej untuk membantu orang ramai yang mungkin mempunyai peranti 3G bagi membolehkan mereka bertukar ke peranti 4G dengan kos yang lebih rendah. 

Antara sebab menghentikan pentauliahan peralatan 3G adalah untuk mengelakkan peranti teknologi lapuk itu dilambakkan ke Malaysia. 

''Kita perlu memastikan barangan atau peralatan 3G tidak lagi diimport ke negara ini, justeru mereka tidak seharusnya dijual kepada sesiapa. 

“Jadi, sebaik sahaja anda menghentikan bekalan peralatan 3G ke dalam ekosistem, maka anda perlu mengeluarkan peralatan sedia ada daripada ekosistem supaya ianya boleh digantikan dengan 4G,'' tambahnya. 

Selain itu, kebanyakan aplikasi juga berfungsi dengan baik dalam rangkaian 4G, katanya. 

Fadhlullah ketika mengulas mengenai harga berkata ia adalah perkara yang berkaitan dengan bekalan serta permintaan.

Dilaporkan bahawa Malaysia bercadang untuk menamatkan rangkaian 3G menjelang akhir 2021 untuk meningkatkan rangkaian 4G yang seterusnya, berfungsi sebagai asas bagi penggunaan teknologi 5G.

Berdasarkan laporan Digital News Asia, fasa pertama,  yang melibatkan fasa perancangan telah pun diselesaikan.

Ini dimulakan dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas Penamatan Rangkaian 3G, yang membawa ke arah pelan penghijrahan pelanggan serta rangkaian yang disediakan oleh pembekal perkhidmatan.

Pasukan petugas itu dijangka mengeluarkan notis untuk pemberhentian pengimportan peranti berkeupayaan 3G dan bukan VoLTE menjelang Januari 2021, di samping memberikan pemberitahuan serta penglibatan dengan pengeluar dan pembekal peranti untuk mempercepatkan penggunaan suara ke atas LTE (VoLTE). 

Ini kerana 4G adalah rangkaian IP (protokol Internet) yang direka untuk data dan bukannya suara. VoLTE membenarkan panggilan suara berkualiti tinggi bergerak melalui rangkaian 4G.

Sementara itu, fasa dua iatu fasa pelaksanaan operasi, dijangka digerakkan pada tahun ini, yang mana mana liputan 3G akan dikurangkan sehingga ditutup sepenuhnya. 

Operasi ini akan menyaksikan pelan penghijrahan pelanggan oleh penyedia perkhidmatan serta pelaksanaan pelan komunikasi, termasuk program kesedaran dan pendidikan penamatan 3G kepada orang ramai.

Share this article
Follow