Media & Events

SKMM keluarkan 77 kompaun berjumlah RM3.7 juta bagi suku tahun pertama 2021

19 Mar 2021, Kosmo

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan 77 kompaun berjumlah RM3.7 juta kepada pemegang lesen telekomunikasi bagi suku pertama tahun ini.

SKMM menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, Maxis Broadband Sdn. Bhd. penerima adalah kompaun terbanyak dengan 68 kompaun berjumlah RM3.3 juta diikuti oleh U Mobile Sdn. Bhd. (RM350,000).

Menurutnya, dua syarikat telekomunikasi itu didapati gagal mematuhi rancangan penomboran dan pengalamatan elektronik, ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Prabayar bagi pendaftaran pengguna akhir dan kegagalan mematuhi syarat-syarat lesen.

“Kompaun itu ditetapkan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya.

Katanya, SKMM akan terus berusaha memastikan syarikat-syarikat telekomunikasi mengutamakan hak pengguna termasuk memastikan kebebasan pengguna untuk memilih perkhidmatan telekomunikasi yang dikehendaki
mereka.

Jelasnya lagi, tindakan itu selaras dengan Ikrar Mesra Pelanggan yang dimeterai oleh syarikat-syarikat telekomunikasi pada pertengahan Jun 2019, yang mengikat komitmen mereka untuk melaksanakan langkah penambahbaikan bagi memberikan pengalaman terbaik kepada pengguna.

Selain itu, SKMM turut mengenakan tujuh kompaun berjumlah RM350,000 kepada syarikat U Mobile Sdn. Bhd. atas ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Prabayar bagi pendaftaran pengguna akhir.

Manakala, Sistem Televisyen Malaysia Bhd. dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pula masing-masing dikenakan satu kompaun berjumlah RM40,000 dan RM20,000 kerana kegagalan mematuhi syarat-syarat lesen yang ditetapkan.

Share this article
Follow