Media & Events

Sistem peralihan nombor mudah alih diperkenal

04 Apr 2007, Utusan Malaysia
KUANTAN 4 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memperkenalkan sistem peralihan nombor mudah alih yang membolehkan pengguna mengekalkan nombor telefon bimbit sedia ada walaupun berubah operator perkhidmatan. Pengerusinya, Datuk Dr. Halim Shafie berkata, melalui langkah itu, nombor awalan pada telefon bimbit tidak semestinya akan mewakili mana-mana syarikat telekomunikasi (telco) tertentui. ‘‘Sebagai contoh, jika pengguna Maxis yang mempunyai nombor telefon bimbit awalan 012 ingin berubah kepada operator lain seperti Celcom atau DiGi, maka pengguna berkenaan masih boleh mengekalkan nombor asalnya yang bermula dengan 012 itu walaupun berubah operator,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Pejabat Wilayah Timur SKMM dan Pusat Pengawasan Spektrum Negara (Nasmoc) di sini, hari ini. Jelas beliau, perkhidmatan baru itu dijadual diperkenalkan awal tahun hadapan dan dijangka amat berguna untuk pengguna yang mahu mengekalkan nombor asal mereka tetapi ingin mendapatkan perkhidmatan talian telefon melalui telco yang lain. “Perkhidmatan itu akan ditawarkan kepada pemilik talian pra dan pasca bayar dan para telco telah bersetuju dengan perkhidmatan berkenaan,” jelasnya. Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 2.3 juta nombor prabayar ditamatkan kerana pemiliknya gagal mendaftar kad SIM prabayar mereka sehingga penghujung tahun lalu. Keadaan itu, katanya, menyebabkan jumlah pengguna talian pra bayar telah menjunam daripada 18.5 juta pengguna tahun lalu kepada 16 juta pengguna pada satu peringkat. “Namun, melalui usaha-usaha gigih para telco, jumlah itu telah pun meningkat kembali kepada 17 juta pengguna pada masa kini dan SKMM yakin jumlah pengguna akan kembali ke angka asal,” katanya. Jelas beliau, secara keseluruhan, wujud sebanyak 19 juta talian telefon pra dan pasca bayar yang digunakan di negara ini.
Share this article
Follow