Media & Events

Perutusan Menteri Komunikasi dan Multimedia sempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2022

17 May 2022, Berita Harian
Perkembangan pesat teknologi ternyata telah mentransformasikan kehidupan harian rakyat Malaysia. Ini kerana, kebanyakan urusan seperti membayar bil, tempahan makanan melalui platform e-hailing, e-dagang dan penggunaan perkhidmatan agensi-agensi kerajaan kini telah menjadi begitu mudah dengan adanya pengaruh teknologi. Oleh itu, adalah penting untuk setiap golongan masyarakat termasuk golongan rentan seperti warga emas dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran serta diberikan kemudahan yang sesuai agar mereka ini tidak tersisih daripada arus perkembangan teknologi. Ini adalah bersesuaian dengan tema sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) tahun ini iaitu “Digital technologies for older persons and healthy ageing”. Kali ini, WTISD yang disambut setiap 17 Mei, menekankan kepada kesejahteraan hidup warga emas dengan memanfaatkan teknologi dan informasi komunikasi dalam menghadapi hari tua. Ia adalah sejajar dengan usaha kerajaan untuk memperkasakan adaptasi digital di negara ini, terutamanya dalam kalangan warga emas. Usaha-usaha ini boleh dilihat melalui pelaksanaan pelbagai program kesedaran dan tutorial bagi menggalakkan penggunaan Internet yang positif, produktif dan beretika. Sepanjang 10 tahun yang lalu, kerajaan secara kolektif telah membelanjakan RM50 juta untuk membangunkan komuniti digital yang celik termasuk warga emas.

Bagi tahun 2022 sahaja sebanyak RM6 juta telah diperuntukkan untuk tujuan yang sama. Ini adalah peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding peruntukan tahun sebelumnya. Jumlah ini akan digunakan untuk melatih masyarakat setempat termasuk golongan warga emas melalui program Klik Dengan Bijak, Malaysian ICT Volunteers, siri latihan di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dan program literasi digital Cybersecurity Malaysia di seluruh negara. Selain itu, pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dan Mercu Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (MEDi), kesemuanya pelan bersifat jangka panjang yang diwujudkan untuk melahirkan sebuah masyarakat yang berdaya saing, kreatif dan terhubung.

Di bawah JENDELA, kerajaan komited untuk meningkatkan ketersambungan digital dan mencapai 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, serta pemasangan rangkaian gentian optik di sembilan juta premis secara berperingkat dengan kelajuan 100Mbps bagi memberikan perkhidmatan Internet yang lebih baik menjelang tahun 2025. Bagi memastikan semua inisiatif ini dapat dilaksanakan secara telus dan manfaatnya dirasai rakyat, K-KOMM akan melaksanakan perkara-perkara berikut; pertama, melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa melalui beberapa siri kembara di seluruh negara. Kedua, memastikan perkhidmatan rangkaian telekomunikasi diaudit bagi memastikan kualitinya mencapai tahap yang dikehendaki. Ketiga, memperketatkan kawal selia industri telekomunikasi dan multimedia agar kualiti perkhidmatan serta pengalaman pengguna yang baik dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Dengan pemantapan infrastruktur digital, ianya akan membantu negara untuk beralih kepada ekonomi digital. Ini turut memberi impak kepada golongan warga emas. Keputusan Kerajaan untuk mentransformasikan PEDi demi melahirkan sebuah masyarakat keusahawanan dapat dimanfaatkan oleh warga emas untuk menjana sumber pendapatan bagi menampung kos kehidupan mereka. Inisiatif MEDi pula dijangka merancakkan lagi pemerkasaan usahawan digital Keluarga Malaysia melalui platform fizikal yang disediakan di MEDi bagi mempromosikan produk-produk mereka selain menjadi pemangkin kepada peningkatan mobiliti sosial mereka.
 
Insya-Allah dengan segala usaha yang direncanakan oleh Kerajaan, ianya mampu memberi impak positif kepada rakyat Malaysia termasuk warga emas dalam mendepani era digital.
 
Selamat menyambut Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2022!
 
Share this article
Follow