Media & Events

Perkhidmatan internet di lebih 17 kawasan di Paya Besar, Pahang terus dipertingkatkan

04 Sep 2021, Bernama

KUALA LUMPUR: Lebih 17 kawasan penempatan penduduk luar bandar dan kawasan sekitar Paya Besar, Pahang, kini mendapat perkhidmatan jalur lebar lebih baik melalui rangkaian 4G setelah sebuah menara baharu siap dibina dan 19 stesen pemancar dinaik taraf hingga 31 Ogos lepas.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan antara kawasan yang menerima liputan lebih baik menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) itu ialah Felda Bukit Sagu 1, Bukit Gambang Resort City, Felda Lepar Hilir 1, Felda Lepar Hilir 2, Felda Lepar Hilir 3, Felda Panching Timur dan Felda Bukit Sagu 4.

Turut mendapat perkhidmatan jalur lebar lebih baik ialah Kolej Matrikulasi Pahang, Sungai Semuji dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT1), Sri Jaya Interchange, kawasan Rehat dan Rawat Gambang, Kampung Gelugor, Kampung Kolek, Kampung Batu 37, Kampung Paya Bungor Kiri dan Kampung Semuji.

“Secara keseluruhan di bawah pelan Jendela di Paya Besar, sebanyak 23 menara baharu akan dibina dan 67 stesen pemancar sedia ada akan dinaik taraf ke rangkaian 4G.

“Bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap pula, sebanyak 4,545 premis akan disediakan dengan capaian rangkaian gentian optik,” menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC, satu tinjauan telah dijalankan Khamis lepas bagi memantau perkembangan pelaksanaan projek terbabit dan kerja-kerja pelaksanaan projek Jendela dijangka siap secara berperingkat bermula penghujung Disember 2021 hingga penghujung Mac 2022.

Dalam pada itu, MCMC turut menggesa orang ramai memanfaatkan Jendela Map bagi mengetahui status liputan rangkaian perkhidmatan jalur lebar di kawasan tempat tinggal mereka.

Mereka juga disaran mengajukan maklum balas atau aduan kepada penyedia perkhidmatan bagi menambah baik kualiti serta liputan perkhidmatan jalur lebar di kawasan masing-masing.

Sebarang maklumat lanjut boleh layari laman sesawang di pautan https://jendela.my.

Share this article
Follow