Media & Events

Peranan SKMM hanya selia infrastruktur laman web

01 Jun 2007
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) meminta pihak bertanggungjawab mengeluarkan amaran kepada orang ramai mengenai kewujudan laman web atau blog yang mengandungi maklumat bercanggah dengan ajaran agama, politik dan tatasusila kemanusiaan. Ketua Komunikasi Korporatnya, Adelina Iskandar, berkata masih ramai yang tidak mengetahui peranan SKMM yang hanya menyelia infrastruktur sesebuah laman web, bukannya memantau laman web yang menyeleweng. SKMM hanya membuat pemantauan laman web dan kita sendiri tidak mampu memantau semua laman web di internet kerana jumlahnya terlalu banyak. Jika ada pihak yang memberi contoh China sebagai negara yang berjaya mengawal selia kandungan laman web, ini kerana ideologi negara itu yang berbeza dengan kita, katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. Katanya, China mempunyai polis siber yang melayari internet untuk mencari kandungan yang tidak menyenangkan, terutama berkaitan dasar politik, berbanding laman pornografi dan penipuan online. Negara kita juga sebenarnya boleh memerangi jenayah siber dengan membasmi kewujudan laman web yang mengandungi maklumat menyeleweng tanpa memberi publisiti terhadap laman web berkenaan. Ibu bapa juga memainkan peranan penting dan SKMM sentiasa menggalakkan supaya setiap komputer dipasang perisian yang boleh menyekat laman web yang tidak penting dan memberi kesan negatif kepada orang ramai, khususnya remaja, katanya. Adelina berkata, SKMM sehingga kini bertindak menutup laman web yang berpangkalan dalam negara yang didapati menyalahi undang-undang siber selepas menerima arahan daripada agensi kerajaan berkaitan, termasuk laman web yang menyebarkan ajaran sesat, katanya. Kebanyakan pengendali laman web bijak kerana selain mendaftarkan domain dengan pangkalan data luar negara, mereka juga tidak menggunakan pengenalan diri yang sah, sekali gus menyukarkan SKMM menjejaki mereka, katanya.
Share this article
Follow