Media & Events

Pemancar: Suruhanjaya perlu tegas

14 Jul 2007, Utusan Malaysia
REMBAU 14 Julai – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu bertegas terhadap syarikat telekomunikasi yang enggan melanggan kemudahan menara pemancar telekomunikasi yang disediakan oleh kerajaan negeri. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kebanyakan syarikat terbabit hanya mementingkan keuntungan dan enggan menyahut hasrat kerajaan untuk membolehkan liputan perkhidmatan telefon bimbit yang lebih meluas diberikan kepada orang ramai. Menurut beliau, mereka hanya memilih kawasan tumpuan orang ramai sahaja seperti di kawasan bandar, pelancongan dan jalan-jalan Persekutuan dengan mengabaikan keperluan kawasan pedalaman. “Dalam kes negeri ini, mereka tidak melanggan kemudahan menara pemancar di kawasan luar bandar dengan memberi alasan penduduk tidak ramai menggunakan perkhidmatan talian mereka,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian serentak mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau di sini hari ini. Mohamad mengulas kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik yang meminta kerajaan negeri supaya segera meluluskan pembinaan menara telekomunikasi di negeri masing-masing bagi membolehkan liputan perkhidmatan telefon bimbit yang lebih meluas di negara ini. Antara lain, beliau berkata, kesukaran mendapatkan kelulusan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyebabkan kegagalan mendapatkan liputan penuh di seluruh negara. Dalam pada itu, Mohamad memuji langkah Celcom yang telah menunaikan tanggungjawab mereka dengan menyediakan liputan terbaik di kawasan pedalaman seperti kampung dan Felda. Tegas beliau, kerajaan negeri telah menyediakan menara pemancar yang mencukupi bagi membolehkan liputan meluas dan mengharapkan SKMM bertegas terhadap syarikat telekomunikasi.
Share this article
Follow