Media & Events

PEDi Jepak ditutup sementara setelah rosak dibadai angin kencang

19 Oct 2022, Utusan Borneo
KUCHING: Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Jepak, Bintulu yang dikendalikan oleh Telekom Malaysia (TM) mengalami kerosakan susulan angin kencang dan cuaca buruk yang melanda kawasan tersebut pada jam 9.30 malam Isnin lalu.

Perkara itu disahkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini.

"MCMC amat bersimpati dengan musibah yang melanda dan berharap agar pihak yang terkesan, tabah menghadapi dugaan tersebut. Tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan setakat ini," katanya.

Menurutnya, hasil tinjauan didapati kerosakan melibatkan bumbung bangunan, siling, projektor 'smartboard', lampu, empat unit komputer, tiga unit pendingin hawa, dua unit kamera litar tertutup (CCTV) dan sebuah bilik pelayan (server) akibat dihempap pokok tumbang semasa cuaca buruk melanda Jepak pada malam itu.

Susulan insiden itu, operasi PEDi Jepak telah ditutup buat sementara waktu untuk kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan. 

Bagi mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan Internet untuk urusan seharian atau urusan lain, mereka boleh berbuat demikian di PEDi berhampiran iaitu PEDi PPR Bandaria Park.

Sementara itu, MCMC kini sedang bekerjasama dengan pihak pengendali PEDi tersebut bagi mengenal pasti nilai kerosakan sebelum kerja baik pulih di PEDi berkenaan dapat dijalankan.

Share this article
Follow