Media & Events

PEDi beri kemudahan digital, tingkat sosioekonomi

17 May 2022, Berita Harian
Ekonomi digital adalah instrumen penting untuk negara menuju ke arah usaha pemulihan dan menjamin ketahanan masa depan ekonomi Malaysia. Seiring dengan itu, kerajaan telah melancarkan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) pada November tahun lalu untuk menjadi pusat sehenti bagi masyarakat luar bandar dan pedalaman untuk memperkasakan aktiviti ekonomi digital masing-masing. Selaras dengan sasaran kerajaan untuk mewujudkan “1 PEDi di setiap Dewan Undangan Negeri”, sebanyak 910 PEDi sedang beroperasi di seluruh negara setakat Mei 2022. Pada penghujung 2022, sejumlah 173 PEDi baharu akan mula beroperasi sekali gus menjadikan sebanyak 1,083 PEDi di seluruh negara.

Panel Penasihat PEDi, Rakan Digital PEDi dan Usahawan Ikon menjadi instrumen penting dalam menggalakkan komuniti setempat untuk membabitkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan serta menggunapakai sepenuhnya perkhidmatan yang ditawarkan di PEDi. Setiap PEDi dilengkapi akses perkhidmatan jalur lebar dan kemudahan infrastruktur digital, malah turut menawarkan kakitangan terlatih untuk memberi perkhidmatan dan sokongan yang diperlukan oleh komuniti setempat. Fokus utama PEDi ialah melahirkan dan memperkasa usahawan kecil ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing. Ini membolehkan agar semua penduduk tanpa mengira kedudukan sosial mahupun geografi berupaya menyertai serta mengambil peluang dalam ekonomi digital.

Usaha ini membabitkan pembangunan kemahiran masyarakat setempat mengenai penggunaan Internet serta meningkatkan penglibatan e-dagang yang membuka peluang untuk peloporan lebih banyak aktiviti keusahawanan tanpa mengira peringkat umur.Tambahannya pula, kerajaan telah merancang untuk menubuhkan Mercu Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (MEDi), iaitu satu pusat sehenti yang akan merancakkan pemerkasaan usahawan digital Keluarga Malaysia dengan menawarkan pelbagai kemudahan teknologi digital.

Dalam usaha menyediakan kemudahan asas untuk memperkasakan pendigitalan dalam kalangan rakyat Malaysia, MCMC tidak lupa aspek kesedaran terhadap pendedahan kepada Internet. Ini dilakukan melalui pelbagai program kesedaran bagi menggalakkan penggunaan Internet yang positif, produktif, dan beretika dalam kalangan masyarakat Malaysia. Berlandaskan prinsip Rukun Negara, inisiatif Klik Dengan Bijak® atau KDB melatih pengguna dengan pengetahuan dan kemahiran penggunaan Internet yang se-­lamat, berwaspada, dan bertanggungjawab supaya mereka menjadi pengguna Internet yang positif dan beretika.

Mesej utama yang disampaikan adalah kawalan kendiri. Sejak dilancarkan pada tahun 2012 sehingga 2021, KDB telah mencapai lebih daripada tujuh juta jangkauan audiens melalui pelaksanaan program di lapangan dan secara dalam talian termasuk aktiviti di media sosial yang telah meraih hampir 90,000 pengikut di platform media sosial. Pelbagai usaha yang telah dirancang dengan teliti ini diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh setiap rakyat Malaysia termasuk warga emas. Kerajaan akan terus membantu rakyat dan berusaha melahirkan lebih ramai masyarakat digital yang inklusif demi mendepani era digital yang pesat berkembang.
Share this article
Follow