Media & Events

PEDi bantu usahawan kecil perkasa ilmu digital

08 Jun 2023, Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kewujudan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dapat melahir dan memperkasakan usahawan kecil ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing bagi meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.

PEDi juga membantu meningkatkan jualan, malah turut membantu usahawan sama ada di bandar atau luar bandar memperkenalkan produk ke seluruh negara menerusi kaedah digital.

Pengurus PEDi Kampung Batu 1 Kuala Ketil di Baling, Kedah Zieadatul Zulkifli, berkata sebelum mendapat pendedahan di PEDi usahawan hanya dapat menembusi pasaran yang ada di sekitar Baling dengan berdagang secara fizikal.

Bagaimanapun, apabila diberi latihan dan bimbingan di PEDi, usahawan terbabit dapat meluaskan pasaran mereka.

"Sebelum ini ada usahawan menghasilkan bahulu tradisional yang kerap dijadikan sebagai hantaran perkahwinan. Beliau lebih gemar berjumpa pelanggan secara berdepan untuk melakukan jualan.

"Walaupun sudah ada aplikasi Shopee, usahawan terbabit tidak menggunakannya untuk menjual produk. Mungkin dia kurang faham atau tidak mahir menggunakan kaedah perniagaan dalam talian.

"Namun, selepas mengikuti latihan di PEDi dan diberikan bimbingan untuk memasarkan produk serta cara untuk kongsikan pautan kepada orang ramai, akhirnya dia berjaya juga melariskan produk bahulunya secara digital," katanya.

Bengkel asas fotografi

Zieadatul berkata, selain itu PEDi juga berperanan membantu usahawan dengan kursus asas komputer, multimedia serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), termasuk membimbing mereka cara mengambil gambar produk untuk dipasarkan di media sosial.

Katanya, bagi mencapai tujuan itu program bengkel asas fotografi diadakan bagi mendedahkan usahawan cara mengambil gambar dengan pencahayaan yang tepat dan mempelajari mengenai suntingan gambar, ia sekali gus mendekatkan usahawan ilmu pengetahuan media digital dan pendekatan mengenai ICT.

"Selain itu, kita juga ajarkan cara bagaimana untuk menghasilkan risalah, logo perniagaan dan juga pelekat untuk ditampal pada produk mereka. Pada masa sama, kita juga membimbing usahawan bagaimana untuk mendaftarkan perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," katanya.

Beliau berkata, PEDi juga memberi impak penting bagi membantu usahawan menjana pendapatan melalui ekonomi digital khususnya suri rumah.

"Ada suri rumah mempunyai kemahiran untuk menghasilkan kek tetapi selalunya kek yang dibuat dimakan oleh anak dan juga ahli keluarga terdekat.

"Sekarang ini kita bantu dia bagaimana untuk mendapatkan lebih banyak pelanggan. Mungkin di luar lingkungan keluarga atau jiran dalam kawasan yang sama ataupun di tempat lain. Inilah impak yang PEDi boleh bantu supaya komuniti dapat menjana pendapatan," katanya.

Beliau berharap, komuniti dapat memanfaatkan PEDi ini sebaiknya supaya pusat berkenaan dapat berkekalan.

Tumpu kemahiran internet 

Pengurus PEDi Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, Mohd Fikri Yahya pula berkata, PEDi di kawasan bandar lebih menumpukan untuk memberikan bimbingan kepada komuniti bagaimana untuk menggunakan internet.

"Di bandar ini walaupun di PPR, kita lebih mudah mendapatkan akses. Bagaimanapun, tidak ramai yang mahir untuk menggunakannya. Banyak program yang kita bertujuan untuk mendidik komuniti.

"Contohnya seperti pendedahan kepada scam. Kita mengajar mereka teknik yang digunakan oleh scammer supaya mereka tidak terpedaya. Scam ini bahaya kerana mereka boleh menggunakan maklumat peribadi untuk pelbagai tujuan.

"Kita juga ada menyediakan kelas untuk kanak-kanak supaya berhati-hati dalam menggunakan komputer dan tidak menjadi mangsa seksual di media sosial," katanya.

Selain itu, beliau berkata, impak PEDi ini, ramai usahawan yang mendapat manfaat terutama peniaga gerai makan.

"Usahawan gerai makan di sekitar PPR ini kami bantu mereka untuk kembangkan perniagaan. Kita juga membantu mereka untuk mereka cipta menu baharu sekiranya mereka memerlukan.

"Ramai juga usahawan yang kami bantu untuk kembangkan perniagaan dengan kerjasama agensi, contohnya seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Malah, jurulatih daripada MDEC juga kerap datang ke sini bagi mengadakan kelas," katanya.

Katanya, sebelum pandemik COVID-19, ramai yang datang ke PEDi untuk melakukan pelbagai kegiatan tetapi kini ramai yang menumpukan kepada industri ekonomi digital.

Beliau turut berharap lebih ramai komuniti boleh memanfaatkan usaha kerajaan ini. Tambahan pula, komputer yang ada di PEDi ini sudah ditambah baik dengan peralatan baharu dan menggunakan lebih banyak perisian.

Share this article
Follow