Media & Events

Pahang rangka pelan digital terbaik untuk penduduknya

31 May 2022, Malaysia Gazette

KUANTAN – Perancangan lima tahun dalam Pelan Pahang Digital 2021-2025 yang dirangka kerajaan Pahang akan memberikan perkhidmatan digital terbaik untuk penduduk di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata, ia bakal mewujudkan ekosistem digital komprehensif, saling berhubung serta berintegrasi antara sektor awam dan sektor swasta.

“Pelan Digital Pahang mampu mengoptimakan hasil negeri, memastikan budaya digital diterapkan dalam kehidupan rakyat Pahang selain memastikan turut mendapat perhatian pelabur luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pahang Digital 2021-2025 yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.

Berdasarkan perancangan, pelan Pahang Digital 2021 -2025  mempunyai tiga fasa perlaksanaan iaitu fasa pertama pada 2021-2022, fasa kedua (2023-2024) dan  fasa tiga (2025).

Tambah Fakharuddin, beberapa inisiatif digital yang dirancang pada fasa pertama pada tahun lalu telah berjaya dilaksanakan seperti parkir digital, pembangunan aplikasi mobile PahangGo.

Mula  diwujudkan pada 2020, ia membabitkan usahasama daripada agensi kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan serta wakil industri dalam beberapa siri bengkel yang diadakan.

“Selain itu, inisatif itu melibatkan pendigitalan urusan di agensi kerajaan serta di syarikat milik kerajaan khususnya yang membabitkan kutipan hasil secara digital.

“Hasilnya empat teras dikenal pasti iaitu infrastruktur digital, kerajaan digital, inklusif digital dan industri digital,” katanya.- MalaysiaGazette

Share this article
Follow