Media & Events

Melaka sasar 1 PEDi, lahir 5 usahawan digital

22 May 2023, Melaka Hari Ini

AYER KEROH 22 Mei – Setiap Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di negeri ini disasarkan untuk melahirkan lima usahawan digital baharu pada setiap tahun.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Fairul Nizam Roslan berkata, sebagai pusat sehenti yang menyediakan akses internet dan memberi latihan berasaskan ICT, keusahawanan, multimedia dan sebagainya, setiap PEDi perlu mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan bagi memperkasa peranan mereka kepada komuniti.

Menurut beliau, setakat ini, terdapat keseluruhan 30 PEDi di Melaka membabitkan 14 di daerah Alor Gajah, 11 di Jasin dan lima di Melaka Tengah.

“Saya juga difahamkan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Negeri Melaka akan ada pertambahan sembilan lagi PEDi di sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak pernah mempunyai PEDi.

“Jadi, saya juga berbincang dengan MCMC bahawa setiap PEDi di negeri ini perlu ada KPI sendiri dan saya mencadangkan dalam masa setahun, setiap PEDi mesti melahirkan lima usahawan digital yang baharu.

“Maknanya, kesemua usahawan digital ini bukan yang kitar semula (recycle). Saya tahu ia bukan perkara mudah tetapi ia tidak mustahil untuk direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Hala Tuju dan Penerangan PEDi Negeri Melaka 2023 di sebuah hotel di Ayer Keroh, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Pengarah MCMC Melaka Muhammad Luqman Ali.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, setiap PEDi di Melaka perlu melakukan anjakan paradigma dalam memastikan pusat sehenti itu kekal relevan.

Untuk itu, ujar beliau, setiap pengurus perlu meluaskan jangkauan mereka dengan bekerjasama bersama kepimpinan masyarakat di kawasan masing-masing seperti wakil rakyat, persatuan penduduk dan rumah ibadat.

“Selain itu, saya juga minta PEDi bersama-sama menjadi medium penyampai kepada rakyat untuk berkongsi maklumat terkini dengan bekerjasama bersama media Kerajaan Negeri seperti Melaka Hari Ini, Pusat Maklumat Rakyat di bawah Jabatan Penerangan Malaysia, serta agensi media kerajaan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama.

“Malah, kita berharap menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), setiap PEDi juga boleh bersama-sama menyampaikan maklumat mengenai produk pelancongan dan apa yang ada pada TMM2024 itu nanti,” katanya.

Share this article
Follow