Media & Events

MCMC tegas pantau kenyataan jelik dengan unsur 3R

20 Oct 2022, Kosmo

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan akan membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R iaitu Raja (Royalty), Agama (Religion) dan Kaum (Race).

MCMC berkata, susulan pengumuman tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini, semua pihak terutamanya pengguna media sosial diingatkan agar sentiasa menjaga kesopanan, bertolak ansur serta tatasusila ketika memberikan pandangan dan membuat sebarang ulasan.

“Sebarang perkongsian kandungan yang bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM 1998) yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan penguatkuasaan akan dijalankan berdasarkan aduan daripada orang awam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada secara telus demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah MCMC, sebarang insiden atau kandungan berunsur 3R di media sosial boleh terus dilaporkan kepada mereka melalui portal Aduan MCMC di pautan https://aduan.skmm.gov.my/.

“Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/,” jelas kenyataan itu.

Share this article
Follow