Media & Events

MCMC pertimbang kenakan sekatan terhadap Telegram tangani peningkatan jenayah siber

05 Jun 2023, Berita Harian

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mempertimbangkan pelbagai bentuk tindakan yang boleh dikenakan terhadap Telegram, termasuk mengenakan sekatan ke atas platform terbabit.

Ketua Pegawai Kawal Selia SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin, berkata tindakan sedemikian perlu dibuat bagi memberi perlindungan kepada pengguna platform terbabit, selain menjamin kedaulatan negara.

Ini kerana, katanya, aktiviti jenayah siber di Telegram mencatatkan lonjakan drastik dan kini berada di kedudukan lima teratas, berbanding hanya di kelompok 11 antara 2019 hingga 2020.

Beliau turut menjelaskan tindakan drastik perlu dibuat terhadap Telegram kerana tiada saluran atau pihak rasmi membabitkan aplikasi berkenaan yang boleh dihubungi bagi menyatakan sebarang isu berbangkit mahupun membuat susulan.

"Telegram memiliki tahap keselamatan bagi aspek pengguna, iaitu kerahsiaan atau tidak dikenali, 'end-to-end encryption' (penyulitan menyeluruh) sangat tinggi serta membolehkan perkongsian data besar di 'cloud' (servis awan) yang menjadikan platform berkenaan popular.

"Malah, Telegram tidak ada kemungkinan, keperluan mendaftar, mendapatkan credential (bukti kelayakan) atau diundang untuk menyertai (kumpulan sembang), selain tiada admin (pentadbir) yang mengawal dan memberi risiko kepada penjenayah siber untuk dikenali.

"Keadaan ini menjadikannya sebagai platform pilihan bagi penjenayah siber untuk beralih daripada 'dark web' (sesawang gelap) kepada laman Telegram," katanya pada sesi temu bual 'Aplikasi Telegram: Gugat Keselamatan Pengguna' dalam rancangan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), hari ini.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengambil tindakan segera terhadap Telegram yang enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara berkait pelbagai isu keselamatan siber, termasuk penipuan dalam talian.

Beliau dilaporkan berkata, langkah susulan termasuk bertemu pihak Telegram perlu dibuat, malah usaha untuk bekerjasama dalam isu berkaitan juga perlu disokong semua pengguna aplikasi berkenaan.

Gesaan itu dibuat susulan kenyataan jurucakap Telegram, Remi Vaughn yang mengakui enggan bekerjasama dengan KKD kerana aplikasi itu tidak mahu mengambil bahagian dalam sebarang bentuk penapisan berkaitan politik.

Remi dipetik berkata, Telegram secara aktif mengawal kandungan berbahaya di platformnya, termasuk penjualan bahan haram dan pornografi, sejak dilancarkan, selain proaktif memantau bahagian umum di laman pemesejan itu dan menerima laporan pengguna menerusi aplikasi itu sendiri serta e-mel di abuse@Telegram.org untuk mengalih keluar kandungan yang melanggar syarat perkhidmatannya.

Sementara itu, Zulkarnain berkata, Telegram turut memiliki ciri unik iaitu setiap pengguna boleh menjana 'bot' atau robot dikenali sebagai 'Telegram bot', yang mampu melancarkan serangan siber secara automatik.

Selain itu, katanya, bot terbabit mampu menggodam semua maklumat berkaitan log masuk, bukti kelayakan, kata laluan, kata laluan keselamatan, jika ia bersifat perisian hasad (perisian direka untuk membahayakan komputer).

"Apabila bot masuk ke dalam peranti atau rangkaian organisasi, dia boleh pergi lebih jauh dan akan duduk di situ untuk mengumpul maklumat yang berkemungkinan rahsia.

"Justeru, kita sebagai pengguna perlu melihat diri sendiri sebagai bukan vektor kepada penyebaran selanjutnya, selain jangan mudah untuk berkongsi sewenang-wenangnya, terutama (mesej) membabitkan 'link' (pautan).

"Pengguna perlu peka risiko dan satu klik boleh mengundang bencana, bukan hanya kepada diri sendiri sebaliknya turut membabitkan organisasi dan negara," katanya.

Share this article
Follow