Media & Events

Lebih 10,000 meriahkan Karnival Jalur Lebar

27 Feb 2012, Utusan Malaysia
LUMUT 26 Feb. – Lebih 10,000 pengunjung memeriahkan hari terakhir Karnival Jalur Lebar 1Malaysia Pangkor yang diadakan di Arena Square, Pulau Pangkor di sini hari ini. Orang ramai mula membanjiri kawasan tersebut seawal pukul 8.30 pagi bagi menyertai pelbagai program dan aktiviti sepanjang karnival anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu. Suasana meriah mula dirasai ketika majlis perasmian yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pukul 10.30 pagi. Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor kemudiannya menyampaikan netbook 1Malaysia kepada lebih 200 pelajar sekolah sekitar kawasan tersebut. Antara program menarik sempena karnival dua hari yang bermula semalam itu termasuklah bengkel usahawan bagi membantu golongan tersebut melebarkan pasaran melalui Internet. Timbalan Pengarah Pejabat Wilayah Utara SKMM, Mohd. Faizal Azizan berkata, bengkel tersebut merupakan inisiatif SKMM-Google yang mensasarkan penghijrahan 50,000 usahawan kepada perniagaan atas talian. “Bagi 10,000 usahawan yang pertama membuka tapak niaga online di bawah inisiatif ini, mereka akan diberikan laman web beserta domain secara percuma,” katanya di sini hari ini. Mohd. Faizal memberitahu, karnival kali ini turut menampilkan usahawan bantal kekabu, Mohd. Zaidi Awang, 30, yang berjaya membawa perusahaan keluarganya secara online sehingga membolehkannya meluaskan pasaran produk ke seluruh negara. Menurut beliau, sepanjang bengkel tersebut, para peserta diberi bimbingan secara perseorangan oleh SKMM bagaimana untuk mengorak langkah untuk menjadi usahawan global. “Peminat fotografi pula menghadiri bengkel yang dikendalikan jurufoto terkemuka manakala pada sebelah malam, satu ceramah tentang IQRA 4U diadakan bagi memberi panduan kepada pendengar menguasai bacaan al-Quran menggunakan aplikasi IT,” katanya.
Share this article
Follow