Media & Events

KKD, MCMC perlu pantau hantaran naratif kaum, agama melampau - Zahid

31 May 2023, Berita Harian

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memantau sebarang hantaran bernaratifkan kaum dan agama dicetuskan ahli politik seperti didedahkan menerusi kajian Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).

Timbalan Perdana Menteri berkata, kajian dilaksanakan CIJ yang menyatakan bagaimana orang politik menggunakan isu agama dan perkauman sempit, harus diselesaikan.

"Jadi dapatan kajian oleh CIJ ini memperlihatkan bahawa isu sempit agama, kaum sengaja dibangkitkan untuk kepentingan politik, malah fatwa yang pernah dikeluarkan oleh seorang pemimpin parti politik, mengkafirkan parti politik yang lain atau mengharamkan apa dilakukan oleh ahli sebuah parti, masih tidak ditarik balik.

"Ini mewujudkan perpecahan dalam kalangan pengikut parti yang berbeza tetapi menjadi penganut agama yang sama. Saya harap KKD melalui MCMC harus memantau 'posting' dan tulisan yang menjurus ke arah itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan sesi libat urus Program TABIKA Pra Tahfiz KEMAS di sini, hari ini.

BH hari ini melaporkan hantaran berkisar naratif kaum dan agama yang menyinggung perasaan serta diskriminasi dicetuskan ahli politik, menguasai platform media sosial utama di negara ini ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Ia antara analisis dan dapatan utama kajian Pemantauan Media Sosial Pada PRU15 oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dengan kerjasama Universiti Nottingham Malaysia, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Kajian dilaksanakan antara 20 Oktober hingga 26 November tahun lalu itu bermula apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh PRU15 sehingga beberapa hari selepas pilihan raya itu selesai dilaksanakan.

Dalam tempoh berkenaan, sejumlah 97 pihak dipantau, merangkumi 49 ahli politik pelbagai parti, 13 parti politik, 16 organisasi media, tiga agensi kerajaan dan 16 pemimpin pendapat (KOL), selain komen netizen di empat platform media sosial iaitu Facebook, Twitter, YouTube dan TikTok.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan, Kerajaan Perpaduan dianggotai 19 parti politik komited kepada perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, kerajaan Sabah dan Sarawak turut mendukung piagam dan tekad yang diikrarkan ketika Kovensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang berlangsung pada 14 Mei lalu.

"Kita harus bersama, biarpun berbeza parti politik tetapi dalam soal pembangunan sebuah negara bangsa dan menghormati agama lain, kita mesti bersama. Ya kita boleh berbeza pendapat, tetapi kita raikan dengan akhlak yang baik.

"Kami di dalam Kerajaan Perpaduan komited bahawa kepentingan rakyat bukan untuk memanipulasi isu yang akhirnya memecahkan agama dan kaum.

"Kami memberikan keutamaan soal untuk mencerakinkan pertumbuhan ekonomi, memberikan kesejahteraan kepada rakyat, bukan sahaja soal pembangunan malah kerohanian termasuk pendidikan," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kononnya ada parti pembangkang dipelawa menyertai Kerajaan Perpaduan, Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menjelaskan bahawa tiada sebarang tawaran atau rundingan berhubung perkara berkenaan.

"Bukan kita tidak mahu soal penyatuan, tetapi kita tidak mahu perkahwinan politik secara mutaah ini berulang dan parti itu menjadi pengantin di dalam perkahwinan mutaah ini dengan banyak parti lain.

"Semuanya bercerai selepas itu sebab mereka tidak ikhlas dan tidak jujur dalam perkahwinan dan perkongsian politik ini," katanya.

Share this article
Follow