Media & Events

Kerajaan memperkasakan masyarakat negara digital

17 May 2022, Berita Harian
Pendigitalan Malaysia bersifat keterangkuman iaitu untuk mewujudkan masyarakat yang lebih saksama, terutamanya melalui penambahbaikan tahap kesalinghubungan dan akses internet dengan mengurangkan jurang digital di antara bandar dan kawasan pedalaman. Bagi merealisasikan hasrat ini, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited dalam melaksanakan teras pendigitalan yang telah digariskan di bawah pelan tindakan ekonomi digital dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk memperkasakan rakyat Malaysia dalam segenap lapisan masyarakat dengan celik digital, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, pendidikan teknologi kewangan, penjagaan kesihatan
dan banyak lagi.

Sehubungan itu, pelbagai langkah telahpun diambil oleh MCMC dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memastikan Malaysia terus bergerak ke hadapan dalam memacu sektor komunikasi dan multimedia negara.Ini termasuk, pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), pewujudan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi), pengumuman pakej data dan peranti mampu beli iaitu Pakej Peranti Keluarga Malaysia dan Pakej Remaja Keluarga Malaysia, serta sumbangan gabungan enam telco menyampaikan sumbangan bantuan banjir berjumlah RM25 juta, selain membaik pulih lebih 1,000 menara telekomunikasi yang terjejas banjir pada awal tahun ini.

JENDELA adalah tonggak utama kepada penyediaan liputan perkhidmatan jalur lebar menyeluruh dan berkualiti tinggi di negara ini yang dijangka mampu meletakkan negara sebagai peneraju ekonomi digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) selaras dengan perkembangan negara serantau. Di bawah pelan tindakan JENDELA, rangkaian 3G telah ditamatkan bagi memantapkan prestasi liputan 4G, dan pada masa sama, menyediakan asas bagi mempercepatkan penyediaan rangkaian 5G yang serba canggih. JENDELA menyasarkan 100peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, serta pemasangan rangkaian gentian optik di sembilan juta premis secara berperingkat dengan kelajuan 100Mbps bagi memberikan perkhidmatan Internet yang lebih baik menjelang tahun 2025.

Prestasi JENDELA setakat suku pertama tahun 2022 telah mencapai liputan 4G 95.7 peratus, sejumlah 7.027 juta premis telah menggunakan jalur lebar dan kelajuan internet berada pada 40.13Mbps melepasi sasaran Fasa 1 JENDELA iaitu 35Mbps. Bagi memastikan inisiatif-inisiatif ini dapat dilaksanakan secara telus MCMC akan melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa, melakukan audit terhadap perkhidmatan rangkaian telekomunikasi untuk menilai kualitinya dan memperketatkan kawal selia industri telekomunikasi dan multimedia agar rakyat dapat menikmati perkhidmatan yang berkualiti.
Share this article
Follow