Media & Events

Kelab murtad di facebook disekat

22 Feb 2012, Harian Metro
KUALA LUMPUR: Kelab di laman sosial, facebook yang ditubuhkan kumpulan penyokong murtad di Malaysia dan Singapura yang menimbulkan kemarahan banyak pihak terutama umat Islam di negara ini akhirnya disekat, Sabtu lalu. Pemerhatian Harian Metro mendapati laman itu ditutup sehari selepas akhbar ini mendedahkan mengenai kewujudan kelab berkenaan Jumaat lalu dan mendapat reaksi banyak pihak yang rata-rata berang dengan tindakan kumpulan berkenaan. Antara kandungan laman itu termasuk perbincangan serta pelbagai komen yang kebanyakannya berbentuk penghinaan terhadap agama Islam dan penganutnya secara terbuka sama ada daripada ahli yang mengakui sudah murtad atau mereka yang bukan beragama Islam. Menurut sumber Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pihaknya sudah menerima maklumat mengenai laman berkenaan dan memandang serius perkara itu. “Justeru, kami akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan badan-badan penguatkuasaan yang berkaitan untuk menanganinya,” katanya di sini, semalam. “SKMM mengingatkan masyarakat umum supaya tidak menyalahgunakan laman-laman sosial dan mematuhi undang-undang Malaysia,” katanya di sini, semalam. Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim ketika ditemui pada lawatannya ke Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh, Subang Jaya berkata, masyarakat tidak boleh menganggap masalah murtad sebagai perkara remeh. “Kalau kita pandang soal keselamatan sebagai isu penting negara, soal akidah juga tidak kurangnya dan ia perlu ditangani bermula dengan kesedaran daripada semua pihak,” katanya.
Share this article
Follow