Media & Events

JENDELA rancakkan industri pelancongan, kegiatan sosioekonomi di Terengganu

08 Jul 2022, Astro Awani

KUALA TERENGGANU: Industri pelancongan dan kegiatan sosioekonomi di Terengganu dijangka terus rancak apabila infrastruktur komunikasi di negeri ini ditambah baik melalui pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata pada tahun ini, sebanyak 81 menara telekomunikasi telah berjaya dinaik taraf iaitu 26 menara di Hulu Terengganu diikuti 17 menara di Dungun, Besut (13), Setiu (10), Kemaman (9), Marang (4), dan Kuala Nerus (2). 

Beliau berkata kualiti perkhidmatan rangkaian jalur lebar mudah alih di kawasan-kawasan pelancongan seperti Pulau Redang, Pulau Tenggol dan Tasik Kenyir turut menjadi keutamaan dalam projek JENDELA dengan mengambil kira industri pelancongan sebagai salah satu submer ekonomi utama negeri. 

"Usaha sama yang diadakan antara Kerajaan Negeri Terengganu dan MCMC ini adalah selaras dengan hasrat kita untuk memulihkan ekonomi pasca pandemik yang baru-baru ini telah berjaya mencatatkan prestasi pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 3.6 peratus, melebihi paras nasional.

"Penambahbaikan kualiti liputan ini juga telah memberikan impak positif kepada usahawan-usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) negeri yang berjaya meneroka peluang-peluang perniagaan dalam dunia digital di samping meningkatkan taraf hidup dan status sosioekonomi masyarakat setempat," katanya dalam satu kenyataan semalam. 

Menurut Ariffon, impak positif daripada projek naik taraf 1,042 stesen pemancar dan 37 pembinaan menara telekomunikasi baharu pada tahun lepas telah dirasai kerana Terengganu kini menikmati purata kelajuan jalur lebar mudah alih pada 32.87 Megabit sesaat (Mbps).

"Kadar liputan jalur lebar mudah alih 4G sudah mencapai 96.21 peratus di kawasan berpenduduk dan liputan 4G ini dijangka meningkat kepada 97.26 peratus selepas Projek JENDELA Fasa 1 siap sepenuhnya. 

"MCMC dan Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa beriltizam untuk memberikan perkhidmatan terbaik dengan melaksanakan inisiatif-inisiatif bersama yang dapat memberi manfaat kepada rakyat terutamanya bagi merancakkan perkembangan industri pelancongan dan ekonomi negeri,"katanya. 

Share this article
Follow