Media & Events

"Jammer" telefon selular haram: SKMM

21 Aug 2007, Berita Harian
KUALA LUMPUR: Penggunaan peralatan "jammer" telefon selular dan "scanner" frekuensi radio komunikasi secara tidasah adalah suatu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berkata peralatan-peralatan itu memerlukan kebenaran khas daripada suruhanjaya itu untuk diimport dan digunakan kerana ia mempunyai kesan terhadap penggunaan telefonselular. Peralatan berkenaan hanya dibenarkan penggunaannya di agensi kerajaan tertentu, bukan boleh dipasang secara bebas di tempat-tempat awam antaranya masjid, bilik kuliah, mahkamah dan bilik mesyuarat seperti yang didakwa oleh beberapa laman web tempatan. "SKMM juga mendapati laman web itu mengiklankan peralatan itu di samping turut mendapat laporan mengenai penjualan scanner frekuensi radio komunikasi," kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan di sini. Menurut suruhanjaya itu penggunaan "jammer" yang diaktifkan akan menghasilkan isyarat yang mengganggu system rangkaian telefon selular, menyebabkan pengguna di sekitar kawasan itu tidak boleh membuat atau menerima panggilan dan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS). "Scanner" frekuensi radio komunikasi pula adalah alat yang boleh digunakan untuk mengesan pelbagai frekuensi radio yang dipakai semasa komunikasi radio dua hala. Sesiapa yang menggunakan "jammer' secara tidak sah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 182, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500, 000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. Sementara itu di bawah Seksyen 239 Akta 588 pula, seseorang yang sabit kesalahan mengguna, memiliki atau membekal "jammer" atau "scanner" secara tidak sah, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. "SKMM memandang berat kegiatan sebegini yang menyalahi undang-undang kerana ia bercanggah dengan polisi kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan telekomunikasi selular yang berkualiti," katanya. Ekoran penyalahgunaan itu, SKMM akan memantau pemilikan, penjualan dan penggunaan kedua-dua peralatan berkenaan. Bernama
Share this article
Follow