Media & Events

Empat perkara sahkan anda berhadapan jenayah scam, apa pula peranan MCMC ?

03 Aug 2022, Utusan TV

SEJAK kebelakangan ini, semakin banyak kes melibatkan penipuan atau scam secara dalam talian dilaporkan berlaku.

Tidak kira jerat cinta menerusi sindiket ‘Love Scam’ atau pun taktik menyamar sebagai pihak berkuasa, scam dalam talian semakin menjadi-jadi.

Anda mungkin pernah mendengar atau mempunyai pengalaman sendiri berhadapan dengan situasi sedemikian.

Dengan peredaran teknologi masa kini, penjenayah scam dalam talian ini juga semakin licik merencana strategi memerangkap mangsa.

Jadi, bagaimana anda mahu memastikan sama ada panggilan telefon yang diterima itu sahih atau scam?

Apakah tanda-tanda amaran yang boleh diperhatikan dalam mengenal pasti scam dalam talian?

Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) yang merupakan badan pengawal selia industri komunikasi dan multimedia mengakui sukar untuk mengetahui berlakunya penipuan.

Ini kerana, penjenayah scam itu pandai bermain dengan fikiran dan emosi untuk meyakinkan kita bahawa kita tidak ditipu.

Bagaimanapun, ini empat perkara untuk mengesahkan anda sebenarnya berhadapan dengan penjenayah scam dalam talian!

1. ADAKAH ANDA DIHUBUNGI SECARA TIBA-TIBA?

– Panggilan dingin, e-mel atau mesej yang tidak dijangka seharusnya menimbulkan sedikit keraguan atau curiga. Sangat tidak biasa bagi organisasi yang sah atau seseorang untuk menghubungi anda secara tiba-tiba dan meminta maklumat sensitif.

– Sekiranya anda tidak yakin 100% mengenai identiti pemanggil, tutup telefon dan hubungi syarikat yang berkenaan secara terus, atau sahkan jika individu berkenaan adalah pengguna nombor telefon yang anda simpan.

2. ADAKAH ANDA DIMINTA UNTUK BERKONGSI MAKLUMAT PERIBADI?

Scammer akan sering mencuba dan mendapatkan apa jua data peribadi yang berharga daripada anda. Contohnya, TAC dan nombor akaun, atau ID pengguna dan kata laluan.

Mereka boleh menggunakannya untuk mencuri wang anda bahkan akan menggunakan identiti anda untuk  menipu.

3. ADAKAH ANDA DIMINTA UNTUK MERAHSIAKANNYA?

Meminta anda untuk berdiam diri adalah cara bagi menjauhkan anda daripada nasihat dan sokongan yang anda perlukan dalam membuat keputusan.

4. ADAKAH ANDA DIDESAK UNTUK MEMBUAT KEPUTUSAN?

Penipu sering cuba mempercepat keputusan anda. Jangan sampai ada yang membuat anda merasa tertekan – tidak mengapa sekiranya anda mahu berhenti sebentar dan memikirkannya jika anda tidak pasti.

Selain langkah untuk mengetahui anda sebenarnya berhadapan dengan penipuan dalam talian, pastinya anda tertanya-tanya bagaimana penjenayah memperoleh akses kepada maklumat peribadi.

Bagaimana pula cara kita melindungi diri dengan lebih baik?

Perkara yang kita perlu sedar adalah di mana hak kita, serta cara untuk melindungi maklumat atau data peribadi kita.

Maklumat peribadi kita boleh dikumpul dengan cara yang kita tidak sedar, contohnya:

– Kejuruteraan sosial: melalui maklumat yang diberikan secara sukarela oleh mangsa ketika bercakap dengan penipu di telefon:

• Scammer akan membuat panggilan telefon kepada mangsa dan mereka berpura-pura menjadi polis atau pegawai bank untuk meminta maklumat peribadi mangsa. seperti nama penuh, alamat rumah dan nombor kad pengenalan, .

• Mangsa biasanya akan memberikan maklumat yang diminta tanpa ragu-ragu.

– Maklumat yang dikongsikan di tempat awam seperti pusat membeli-belah, acara awam dan lain-lain.

• Mangsa akan memberikan maklumat peribadi mereka untuk memenangi hadiah atau  cabutan bertuah.

• Ataupun mendaftar masuk ke dalam sesebuah premis.

– Maklumat yang boleh didapati secara umum di media sosial.

• Rakyat Malaysia pada amnya tidak peka terhadap keselamatan data peribadi dengan memasukkan maklumat peribadi seperti nama penuh dan nombor telefon mereka di media sosial -i Facebook, Instagram dan blog.

– Sindiket

• Terdapat sindiket yang mencari atau membeli data peribadi daripada individu yang tidak bertanggungjawab yang tidak peka terhadap keselamatan data.

• Mereka boleh menjadi pengawal keselamatan di kawasan perumahan yang mengambil maklumat pelawat, penganjur penjualan yang mengambil maklumat anda dan banyak lagi.

Apa yang perlu anda lakukan sekiranya telah diperdaya penjenayah scam ini?

Mangsa perlu tampil membuat laporan polis secepat mungkin supaya pihak polis dapat segera menyiasat perkara tersebut. SKMM akan memberikan bantuan teknikal kepada polis jika diperlukan.

Mangsa juga perlu menyimpan sebarang bukti yang berkaitan iaitu mesej teks, tangkap layar skrin, rakaman audio panggilan dan sebagainya yang boleh membantu polis dalam siasatan mereka.

Apakah yang telah dilakukan MCMC dalam menangani jenayah scam?

a. Siasatan dan Penguatkuasaan

Dalam menangani kes penipuan dalam talian, jalinan kerjasama erat antara pihak MCMC dengan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah pun sedia terjalin meliputi aspek bantuan teknikal berhubung siasatan, pembekalan maklumat, analisis forensik digital, serta pelaksanaan tindakan sekatan berdasarkan permohonan daripada pihak berkuasa yang berkenaan.

Di samping itu, antara langkah proaktif yang diambil MCMC adalah dengan menyekat akses kepada laman palsu yang dikenali sebagai laman ‘Phishing’.

Sejak tahun 2020 hingga Mei 2022, sebanyak 1,826 laman berbentuk ‘phishing’ telah disekat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 melalui laporan awam serta usahasama pemantauan institusi-institusi perbankan yang terlibat dalam Internet Banking Task Force (IBTF) yang diketuai BNM.

b. Kawal Selia industri

SKMM sentiasa menjalankan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab melalui panggilan dan SMS, yang memberi kesan buruk kepada pengguna dan industri, dengan melaksanakan inisiatif berikut:

• Pembentukan pasukan petugas khas bagi Penipuan Telekomunikasi dengan kerjasama daripada syarikat pemberi perkhidmatan telekomunikasi dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM.

• Mewujudkan dokumen Rujukan Industri dalam pelaksanaan peraturan sekatan yang menggariskan tujuh (7) peraturan sekatan pada tahun 2018 bagi mengurangkan jumlah panggilan yang meragukan dan penambahan lima (5) peraturan sekatan pada tahun 2020 bagi mengekang panggilan sampai kepada pengguna.

Melalui usaha sama oleh penyedia perkhidmatan komunikasi, sejumlah 1.6 bilion panggilan yang meragukan telah berjaya disekat daripada sampai kepada pengguna.

MCMC sedang giat merangka keperluan untuk mewujudkan Garis Panduan baharu bagi mengekang penipuan melalui perkhidmatan khidmat pesanan ringkas (SMS). Dalam masa yang sama, beberapa kempen kesedaran turut diadakan dengan kerjasama pihak syarikat penyedia perkhidmatan dan PDRM menerusi platform SMS, media sosial dan penyiaran (televisyen dan radio).

c. Advokasi dan kesedaran

Selain daripada tindakan berbentuk penguatkuasaan dan pengawalseliaan industri, pihak kementerian turut memberi keutamaan terhadap usaha meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung penipuan dalam talian.

MCMC turut memberi kerjasama dengan mengaturkan siri temu bual dalam rancangan bual bicara di TV, radio mahupun sesi temu bual yang menampilkan wakil daripada BNM, PDRM dan MCMC. Bagi tujuan tersebut, MCMC menggerakkan program advokasi pengguna menerusi kempen-kempen kesedaran di seluruh negara, serta melalui hebahan media massa bagi memupuk kesedaran dan kewaspadaan orang ramai.

Program kesedaran melalui Klik Dengan Bijak (KDB) dan Malaysian ICT Volunteer (MIV) akan diteruskan dan diperkasakan dengan mesej advokasi terkini, terutama yang mendidik masyarakat termasuk golongan muda dan kanak-kanak tentang modus operandi penipuan.

Share this article
Follow