Media & Events

Elak scam, syarikat TELCO diarah larang pautan URL dalam SMS

01 Apr 2023, Berita Harian

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan semua syarikat telekomunikasi (TELCO) untuk melarang sebarang kandungan pautan pelokasi sumber seragam (URL) dalam khidmat pesanan ringkas (SMS).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, berkata arahan itu bertujuan mengelakkan pengguna daripada menjadi mangsa scam atau penipuan dalam talian.

"MCMC telah mengeluarkan satu arahan kepada syarikat TELCO untuk memastikan tiada seorang pun yang akan tersalah tekan URL dan berkemungkinan menjadi mangsa (penipuan dalam talian).

"Banyak penipuan dalam talian berlaku apabila pengguna tersalah tekan pautan itu, kemudian memberi maklumat peribadi dan akhirnya menjadi mangsa," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu di Ai FM sempena Sambutan Ulang Tahun RTM yang ke-77, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan arahan itu akan berkuat kuasa secara berperingkat, dan berharap syarikat yang terbabit dapat melaksanakannya dalam masa terdekat.

Sementara itu mengenai sambutan ulang tahun RTM yang ke-77 pula, Nie Ching berkata, RTM mempunyai potensi besar dan akan terus menjadi teman setia penonton, selain sentiasa menyampaikan maklumat yang terkini dan pantas kepada pendengar.

Tarikh hari ini menyaksikan lebih tujuh dekad RTM menyumbangkan peranan sebagai teman setia dan terus diyakini seluruh rakyat Malaysia, di samping menjadi suara penghubung antara kerajaan dengan rakyat menerusi enam saluran televisyen serta 34 stesen radio. – BERNAMA

Share this article
Follow