Media & Events

Bertindak sebelum melarat

01 Apr 2023, Sinar Harian

SHAH ALAM - Sejak tahun 2021, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima sebanyak 692 aduan berhubung kandungan di media sosial yang mencetuskan kegusaran orang ramai termasuk menghina agama, kaum dan institusi diraja (3R).

Antara sebab perbuatan ini berlaku ialah berikutan musim pilihan raya apabila ada pihak yang sengaja melakukan provokasi serta menyebarkan berita tidak benar di media sosial.

Ketua Pegawai Kawal Selia MCMC, Zulkarnain Mohd Yasin berkata, sehingga Januari lalu, sebanyak 194 permohonan pemadaman kandungan yang sensitif telah dikemukakan kepada penyedia platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

Daripada jumlah tersebut, katanya, sebanyak 138 kandungan telah diturunkan kerana melanggar piawaian komuniti, terma dan syarat pihak penyedia media sosial terbabit.

“Dari segi siasatan pula, MCMC dalam rangka kerja bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 serta Kanun Keseksaan.

“Di sini, kita akan berikan bantuan teknikal kepada pihak polis meliputi dua aspek iaitu mengesan individu yang menyebarkan kandungan terutama berbaur hasutan serta kebencian.

“Sekiranya tangkapan dibuat, kita berikan bantuan teknikal dalam bentuk analisis forensik ke atas bahan serta peranti yang dirampas,” katanya dalam temu ramah eksklusif kepada Sinar Harian.

Biarpun kes sebegini tidak banyak, katanya, ia bergantung kepada titik pencetus atau trigger point yang akan membangkitkan sesuatu isu.

Menurut beliau, sekiranya tiada pencetus ini, sesuatu isu sensitif yang disebarkan tidak akan mendapat perhatian orang ramai, melainkan terdapat individu yang sengaja membuat provokasi.

“Ini yang kita lihat. Contohnya keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, ketika itu banyak trend conversation (perbualan) dilakukan. Berdasarkan pengalaman kita, setiap kali ada PRU, pasti ada isu atau komen yang berbaur rasis, agama akan timbul,” ujarnya.

Selain itu, jelas beliau, teknologi moden lebih memudahkan maklumat-maklumat sedemikian disebarkan sehingga mengundang bahaya kepada masyarakat.

“Berikutan itu, kita perlu mendidik orang ramai menggunakan maklumat yang diterima secara bertanggungjawab, selain memastikan sesuatu maklumat diterima itu sahih sebelum dikongsikan.

“Dengan cara itu, ia membantu memecahkan rantaian penyebaran berita palsu. Laman menyemak fakta seperti portal Sebenarnya.my telah diwujudkan sebagai titik rujukan untuk pengguna menyemak kesahihan sesuatu berita.

“Di samping itu, laman berkenaan berkongsi sebarang berita mencurigakan untuk koordinasi serta verifikasi oleh kementerian-kementerian, agensi-agensi kerajaan serta agensi penguatkuasaan undang-undang,” ujarnya.

Penguatkuasaan

Zulkarnain berkata, Pasukan Petugas Siber PDRM-MCMC telah diwujudkan sebagai usaha bersepadu kedua-dua agensi berkenaan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan segera terhadap mana-mana individu yang memuat naik kandungan berita palsu di media sosial di bawah Seksyen 233 AKM 1998 serta Kanun Keseksaan.

“Objektif pasukan ini adalah untuk menjalankan pemantauan isu-isu di media sosial dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Pasukan Petugas Siber PDRM-MCMC ini juga akan terus memantau dan menguatkuasakan undang-undang yang bersesuaian dalam menangani berita palsu dan jenayah-jenayah siber yang lain,” katanya.

Tegas beliau, media sosial hanyalah medium perantaraan kerana punca permasalahan sebenar adalah terletak kepada cara masyarakat untuk menggunakannya.

“Dalang utama di sebalik permasalahan ini terarah kepada sikap, mentaliti dan niat pengguna media sosial itu sendiri. Oleh itu, salah guna media sosial boleh diatasi jika setiap pengguna tahu peranan masing-masing dan tekad untuk melakukan perubahan.

“Pendidikan dan advokasi (kesedaran) perlu bergerak seiring dengan aktiviti penguatkuasaan dan kawal selia kerana ia memainkan peranan penting dalam melahirkan masyarakat minda kelas pertama yang bertanggungjawab dan tidak memuat naik atau menyebarkan sebarang kandungan yang boleh melanggar mana-mana peruntukan undang-undang bertulis dalam negara,” katanya.

Ujar Zulkarnain, setiap pengguna mempunyai peranan tersendiri yang boleh dimanfaatkan untuk kebaikan bersama.

“Setiap daripada kita boleh memainkan peranan menjaga sesama kita. Jika ada pengguna ternampak sesuatu yang kurang elok dalam media sosial, laporkan perkara tersebut secara terus kepada penyedia platform yang berkenaan melalui ruangan laporan penyalahgunaan yang disediakan, untuk perhatian dan tindakan lanjut mereka berasaskan piawaian komuniti serta terma perkhidmatan mereka.

“Jika ada ternampak mana-mana kandungan yang boleh menjadi kesalahan undang-undang, maklumkan kepada pihak berkuasa untuk perhatian mereka,” kata beliau.

Kritikan

Zulkarnain mendedahkan, berdasarkan keterangan dan penahanan yang dibuat terhadap individu yang disyaki terlibat dengan perbuatan menyentuh sensitiviti kaum, agama atau institusi diraja, mereka menganggap ia bukan satu kesalahan sebaliknya lebih bersifat kritikan serta kebebasan bersuara.

“Ini yang menjadi satu polemik. Perspektif ini kita lihat bahawa kepekaan itu harus ada. Kritik itu boleh, tetapi usahlah kritikan melampaui batasan undang-undang sama ada palsu, jelik dan mengancam,” katanya.

Menurut beliau lagi, MCMC juga mengesan terdapat pihak yang mengambil kesempatan atas sesuatu isu dengan melakukan provokasi bertujuan bagi mendapat sokongan terhadap pandangan mereka.

“Budaya troll setiap apa yang dilakukan adalah tertakluk kepada batasan undang-undang, walaupun dianggap suka-suka. Apa-apa juga kandungan yang dimuat naik di media sosial perlu ada batasan kerana penting bahawa kita meraikan perbezaan, usah sampai menghina yang menjentik emosi.

“Jangan mencari kesalahan orang, dan janganlah menghina orang kerana ini satu kemudaratan. Setiap perkataan yang diucapkan mempunyai ‘kuasa’, jadi gunalah kuasa ini untuk berbicara tentang kebaikan,” nasihat beliau.

(A) Statistik

- 692 aduan diterima sejak 2021 hingga Januari 2023

- 194 permohonan pemadaman

(B) Langkah tangani kes hina agama, kaum, institusi diraja (3R)

1) Peranan responsif

- Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

- Seksyen 505 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua (2) tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

2) Peranan administratif

- Sekatan laman sesawang berdasarkan kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis Malaysia (contoh, hina agama dan kaum, pornografi dan lain-lain).

- Kerjasama dengan penyedia platform media sosial seperti Facebook, Google, Twitter dalam memadamkan kandungan yang menyalahi undang-undang Malaysia.

- Notis pemberitahuan, makluman dan amaran kepada orang awam berkenaan isu-isu melibatkan media sosial.

3) Peranan proaktif

i. Program advokasi dan kesedaran

ii. Inisiatif kawal selia bersama agensi penguatkuasaan dan penyedia platform media sosial.

(C) Antara kes terlibat

28 April 2019

- Pembantu kepada pendakwah Islam terkenal, Dr Zakir Naik ditahan polis kerana didakwa menghina agama Hindu.

- Muhammad Zamri Vinoth yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia Perlis ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) di hadapan sebuah restoran di Arau kira-kira pukul 2.30 pagi.

- Penahanan ke atas Muhammad Zamri itu dibuat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana melibatkan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci, niat jahat, memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

10 Mac 2021

- Anak bekas Timbalan Perdana Menteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan membuat penghinaan terhadap kerabat diraja Johor.

10 Julai 2022

- Polis menahan wanita yang didakwa menghina Islam ketika persembahan di kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Petaling Jaya. Sebelum itu, video berdurasi 54 saat menunjukkan seorang wanita ketika persembahan di kelab komedi di TTDI mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan aurat.

28 November 2022

- Pakatan Harapan (PH) Terengganu menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di bawah Akta Hasutan kerana menghina institusi Raja-Raja Melayu negara ini.

Kata beliau, isu sensitif lain ialah seperti perbuatan membuang al-Quran di longkang seperti yang berlaku di dalam negara baru-baru ini yang menjadi perhatian, juga tular kes di luar negara membabitkan upacara keagamaan yang disertakan dengan azan, kononnya berlaku di Malaysia.

“Isu seperti ini berkait rapat dengan berita palsu. Ini satu bentuk yang tidak bertanggungjawab dan provokasi tersebut membangkitkan kemarahan dan sering kali dieksploitasi dengan kapsyen serta gambar. Apabila diapi-apikan, dibimbangi jadi rusuhan antara kaum dan sebagainya,” kata beliau.

Share this article
Follow