Media & Events

Bantah daftar telefon bimbit

11 Jun 2007, Utusan Malaysia
CADANGAN untuk mendaftarkan telefon bimbit oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) benarbenar melucukan. Telefon bimbit adalah salah satu keperluan yang perlu dimiliki.Saya antara beribu-ribu pengguna telefon bimbit di Malaysia tidak setuju jika cadangan ini di luluskan oleh Kabinet sebab ini akan menyusahkan pengguna dan penjual telefon bimbit. Sebabnya mudah saja. Bukan semua pengguna telefon bimbit mampu membelinya secara tunai dan boleh dianggarkan 70 peratus daripada pengguna membeli telefon bimbit melalui cara jual ganti (trade in). Jika telefon bimbit didaftarkan, cara jual beli ini pasti akan terhapus dan penjualan telefon bimbit pasti akan turun secara mendadak. Perlu diingatkan cara jual ganti inilah yang banyak digunakan untuk membeli telefon bimbit di Malaysia. Jika telefon bimbit didaftarkan, bayangkan betapa ruginya pengguna kerana telefon bimbit tadi tidak dapat dijual. Apa pula yang akan terjadi kepada kebanyakan telefon bimbit terpakai yang terdapat di Malaysia sekarang? Pasti semuanya akan dilupuskan ataupun dikitar semula. Bayangkan betapa kerugian yang akan dialami oleh semua pengguna termasuk penjual telefon bimbit jika cadangan ini dilaksanakan. Bagi golongan yang berpendapatan rendah di Malaysia, saya percaya kebanyakannya membeli telefon bimbit yang sudah digunakan. Golongan ini bukannya mampu hendak membeli telefon bimbit baru. Golongan ini juga hanya menggunakannya untuk berhubungan antara satu sama lain ataupun untuk kecemasan. Bayangkan jika tiada lagi telefon bimbit terpakai yang mampu dibeli, macam mana golongan ini hendak berhubung. Atas sebab inilah yang menyebab kami pengguna telefon bimbit tidak setuju jika ia didaftarkan. Bukan sahaja menyusahkan pengguna bahkan bakal melumpuhkan industri telefon bimbit di Malaysia. Jangan membandingkan pengguna Malaysia dengan pengguna di Eropah kerana terlalu banyak perbezaannya. Di Eropah boleh dikatakan tiada pengguna talian prabayar dan sistem mendaftarkan telefon bimbit boleh diterima di sana tapi di Malaysia lebih 80 peratus pengguna menggunakan talian prabayar. Dengan mendaftarkan talian prabayar sudah cukup bagi pengguna telefon bimbit di negara ini. Selain itu, di Eropah setiap telefon bimbit baru disertakan dengan talian dari telco masing-masing. Dalam erti kata lain, setiap telefon bimbit di Eropah mempunyai talian pascabayar yang tersendiri dan anda tidak boleh menukar talian. Telefon bimbit tersebut akan tersekat secara automatik jika pengguna cuba menukar talian. Pengguna terpaksa membeli telefon baru jika ingin menukar talian. Dengan cara ini memang terbukti tiada lagi kecurian telefon bimbit tapi cara ini tidak sesuai untuk Malaysia yang mempunyai hampir 80 peratus pengguna talian prabayar. Saya mewakili semua pengguna telefon bimbit membantah cadangan untuk mendaftarkan telefon bimbit kerana jika ia dilaksanakan maka akan menyusahkan pengguna. Bukan saja pengguna bahkan industri telefon bimbit akan menerima kesan. Saya harap semua pengguna membantah cadangan ini untuk kebaikan kita semua. – REDYFORLIFE, Kuching, Sarawak.
Share this article
Follow