Media & Events

Apakah Peranan Anda Dalam Pemerakuan Peralatan Komunikasi?

30 May 2022, Soya Cincau
Tahukah anda bahawa MCMC selaku badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia juga bertanggungjawab dalam penyeliaan perkhidmatan pos dan kurier? Namun begitu, artikel ini lebih menumpukan kepada tanda pemerakuan yang perlu ada pada peralatan komunikasi yang sering digunakan bagi menandakan ianya telah diperakui dan mematuhi standard yang telah ditetapkan.

Tanda pemerakuan yang dimaksudkan adalah label MCMC yang sangat penting bagi memastikan keselamatan, kesalingbolehkendalian dan  tiada gangguan frekuensi.

Semua jenis peralatan komunikasi  hendaklah diperakui oleh agensi pemerakuan yang berdaftar dengan MCMC. Peralatan komunikasi tidak terhad kepada telefon pintar sahaja, malah semua jenis peralatan yang mempunyai keupayaan untuk bersambung dengan rangkaian komunikasi awam dan peralatan-peralatan lain yang beroperasi secara wayarles dengan menggunakan gelombang radio.

Sekiranya anda pandang sekeliling, tentu sekali ada sejumlah peralatan yang tertakluk kepada pemerakuan yang ditetapkan oleh MCMC.

Dalam pejabat anda mesti ada peralatan komunikasi seperti mesin faks, telefon, modem internet, laptop, atau keyboard wayarles. Di dalam rumah pula mungkin anda mempunyai TV pintar, modem internet dan pelbagai peralatan rumah pintar yang mempunyai fungsi wayarles seperti suis lampu, pembersih vakum robotik, alat pembesar suara wayarles, penghawa dingin pintar dan lain-lain lagi.

Dalam zaman sekarang, peralatan komunikasi sudah menjadi keperluan asas dan sering digunakan dalam kehidupan seharian bagi melancarkan urusan. Kebergantungan pengguna terhadap peralatan komunikasi juga semakin meningkat kerana kebolehan dan prestasinya yang sangat memberangsangkan.  Oleh yang demikian, adalah mustahak untuk pengguna memastikan peralatan komunikasi yang digunakan diperakui untuk memastikan keselamatan dan kesalingbolehkendalian serta tidak menyebabkan gangguan frekuensi.

Peranan Penjual

Pihak yang ingin menjual peralatan  komunikasi perlu memastikan produk-produk yang mereka ingin pasarkan  telah diperakui dan mempunyai label MCMC. Anda telah melakukan kesalahan jika memiliki dan menjual peralatan komunikasi yang tidak diperakui atau tidak mematuhi standard yang telah ditetapkan. Jika didapati bersalah, denda sebanyak RM100,000 atau penjara selama 6 bulan atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan.

Program Pelabelan Kendiri (SLP) telah diperkenalkan bagi memudah cara pengilang atau pengimport untuk memenuhi keperluan pelabelan pemerakuan pada peralatan komunikasi. Kaedah ini dapat menjimatkan masa dan lebih fleksibel melalui label fizikal atau elektronik yang disediakan secara kendiri oleh pengilang atau pengimport, berbanding dengan label konvensional yang hanya dikeluarkan oleh agensi pemerakuan. Pihak penjual hendaklah cakna dan peka terhadap perkara ini bagi memastikan peralatan komunikasi yang dibekalkan oleh pengilang atau pengimport mematuhi keperluan pemerakuan yang ditetapkan.

Peranan Pengguna

Kebiasaannya harga jualan sesuatu peralatan komunikasi adalah faktor utama yang mempengaruhi pengguna semasa ingin membuat pembelian. Pengguna cenderung untuk membeli peralatan komunikasi yang dijual dengan harga yang lebih murah tanpa mengambil kira status pemerakuan peralatan tersebut.

Peralatan komunikasi yang diperakui dan mempunyai label MCMC mungkin dijual dengan harga yang sedikit mahal tetapi  telah melalui proses pengujian dan penilaian bagi memastikan ianya mematuhi standard-standard yang ditetapkan. Peralatan komunikasi daripada luar negara juga telah melalui proses pengimportan yang sah seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Perbezaan harga yang sedikit adalah premium yang perlu kita bayar bagi memastikan peralatan komunikasi yang bakal digunakan adalah selamat, berfungsi dengan baik dan tidak menyebabkan sebarang gangguan frekuensi serta telah melalui proses pengimportan yang sah bagi melindungi pengguna.

Cara Semak Label MCMC Di Peranti Anda

Label MCMC tidak terhad kepada pelekat fizikal yang ditampal pada permukaan peralatan komunikasi sahaja. Ianya boleh berada dalam bentuk digital yang diintegrasikan dengan sistem pengoperasian bagi peralatan komunikasi yang mempunyai skrin paparan.

Pengguna adalah disarankan untuk menyemak label MCMC dan pastikan maklumat label berkenaan terdapat dalam pengkalan data melalui aplikasi mudah alih Check Your Label. Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store.

Pengguna boleh menyemak status label MCMC dengan memasukkan nombor IMEI ataupun nombor siri peralatan komunikasi menggunakan aplikasi Check Your Label.

Nombor IMEI bagi peralatan yang mempunyai kad sim boleh didapati daripada aturan peralatan atau taip *#06# pada keypad. Pastikan maklumat peralatan yang disemak adalah sama dengan maklumat yang terpapar pada aplikasi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari  laman sesawang rasmi Check Your Label atau akaun media sosial rasmi CYL di Facebook, Instagram dan Youtube.

Share this article
Follow