Media & Events

5 syarikat penyedia kandungan telefon bimbit dikompaun RM550,000

14 Sep 2007, Utusan Malaysia,
KUALA LUMPUR 14 Sept. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menjalankan siasatan terhadap kes membabitkan lima syarikat penyedia kandungan untuk telefon bimbit dan telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM550,000 pada tahun ini. SKMM dalam satu kenyataan berkata, kompaun itu lebih tinggi daripada yang dikenakan pada tahun lepas yang turut melibatkan siasatan terhadap lima kes ke atas syarikat penyedia kandungan membabitkan kompaun berjumlah RM187,000. “Kompaun itu adalah disebabkan mesej yang tidak diminta, pengenaan caj yang tidak sah dan kegagalan penyedia kandungan menghentikan perkhidmatan seperti yang diminta pengguna,” katanya. SKMM berkata, berdasarkan siasatan, sejumlah 712,676 pelanggan terbabit dan sejumlah RM377,411.60 caj telah dikenakan ke atas mereka. SKMM berkata, wang berkenaan telahpun dipulangkan kembali kepada pelanggan. Menurut kenyataan itu, SKMM menerima sebanyak 176 aduan berkaitan penerimaan mesej pesanan ringkas (SMS) yang tidak diminta di Forum Pengguna Malaysia anjuran Suruhanjaya itu bulan lepas. SKMM berkata, ia telah mengarahkan syarikat telekomunikasi (telco) menyediakan laporan penggunaan pelanggan prabayar bagi membolehkan mereka memeriksa sebarang caj yang menimbulkan keraguan atau tidak sah dan untuk memudahkan lagi siasatan sejurus selepas satu-satu aduan dibuat. “Sehingga kini, hanya DiGi yang menyediakan laporan itu dan ia tertera dalam laman web DiGi, manakala Maxis dan Celcom akan melakukan perkara sama menjelang akhir bulan ini. “Langkah ini akan membolehkan kesemua pengguna telefon bimbit memeriksa penggunaan transaksi perkhidmatan dan caj yang dikenakan kepada mereka pada atau sebelum 1 Oktober,” katanya. SKMM berkata, untuk mengurangkan lagi kemungkinan berlakunya khidmat SMS yang tidak diminta dan caj haram, telco telah memberikan komitmennya memasang sistem pencegahan yang membolehkan penyedia kandungan secara automatik patuh kepada peraturan industri yang berkaitan penyediaan kandungan mudah-alih dalam menjalankan perkhidmatan penawaran kandungan untuk perkhidmatan mudah-alih. “Suruhanjaya ini akan mengawasi perkembangan pelaksanaan sistem pencegahan yang akan dipasang oleh telco itu. “Para pelanggan boleh meminta penjelasan lanjut daripada penyedia perkhidmatan masing-masing sekiranya terdapat sebarang keraguan berkenaan perkhidmatan yang ditawarkan oleh penyedia kandungan atau caj yang dikenakan,” katanya. - Bernama
Share this article
Follow