Media & Events

270 menara telekomunikasi baharu dijangka siap akhir tahun ini

28 May 2023, MSN
KUANTAN - Sebanyak 270 menara telekomunikasi di seluruh Pahang dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, bagi mencapai sasaran itu kerjasama daripada semua pihak terlibat dalam memastikan kemudahan telekomunikasi dapat direalisasikan.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 56 menara telekomunikasi siap sepenuhnya di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) manakala bakinya dalam fasa pembinaan infrastruktur dan pengoperasian oleh syarikat telekomunikasi.

"Kita (kerajaan Pahang) konsisten dan bertegas mahu semua menara siap serta beroperasi sepenuhnya mengikut sasaran. Malah, kita mengadakan mesyuarat secara berkala dengan agensi-agensi terlibat seperti Koridor Utiliti Pahang, Pahang Corporation, PTG (Pejabat Tanah dan Galian) dan JPNP (Jabatan Perhutanan Negeri Pahang) kerana ingin percepatkan proses berkaitan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau sebelum itu mengadakan lawatan dan menyaksikan Majlis Penyerahan Menara Komunikasi Jendela di Ladang Far East Sungai Gayung dan Ladang Far East Rangkaian di Rompin pada Ahad.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Ir Razali Kassim, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pahang, Mohd Faisal Md Nor.

Menyentuh isu berhubung perolehan tapak menara pembinaan telekomunikasi, beliau berkata, kerjasama baik daripada semua pihak terlibat akan dapat menyelesaikan segala urusan dengan segera.

"Saya nak tegaskan segala perolehan semua tapak menara mesti selesai pada penghujung bulan Jun ini, dengan cara ini sahaja semua menara boleh siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

"Jadi, kita minta semua pihak berkepentingan memberi tumpuan khusus bagi menyiapkan projek ini dan sebagai Exco yang bertanggungjawab saya telah menyatakan komitmen kepada MB (Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) berkenaan kemajuan pembinaan menara ini,” katanya.

Share this article
Follow