Media & Events

240 premis jalur lebar tetap sekitar Kampung Lahar Tiang, Kepala Batas

02 Sep 2021, Bernama
KUALA LUMPUR, 2 Sept --Sebanyak 240 premis jalur lebar tetap dengan kapasiti gigabit akan disediakan dan dijangka mampu menyelesaikan masalah liputan jalur lebar dihadapi penduduk sekitar Kampung Lahar Tiang, Kepala Batas di Pulau Pinang.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini menyatakan kerja-kerja menaik taraf liputan jalur lebar tetap di kampung itu serta kawasan berhampiran sedang dijalankan dan dijangka siap pada pertengahan Oktober ini.

Ini susulan aduan diterima MCMC mengenai kelewatan Telekom Malaysia (TM) menaik taraf pelanggan Streamyx ke Unifi di Kampung Lahar Tiang.

MCMC telah mengambil tindakan untuk menyiasat dan seterusnya mengambil tindakan lanjut terhadap aduan itu. Bagi tujuan berkenaan satu pertemuan antara pihak MCMC Pulau Pinang bersama-sama wakil pihak TM, pengadu dan wakil penduduk Kampung Lahar Tiang diadakan pada 28 Ogos, “ menurut kenyataan itu.

Antara kawasan terlibat adalah Kampung Lahar Tiang, Kampung Permatang Setar, Kampung Permatang Durian dan Kampung Permatang Langsat.

MCMC memaklumkan kerja menaik taraf itu adalah sebahagian daripada Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa pertama
yang dirangka bagi memberikan liputan jalur lebar lebih meluas.
Share this article
Follow