Taklimat di Pulau Tioman kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui MCMC telah melaporkan perkembangan terkini mengenai Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), yang merangkumi pelaksanaan rangkaian gentian optik dasar laut Pulau Tioman kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dalam satu sesi taklimat di Pulau Tioman. Sesi taklimat tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MCMC, YBhg. Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.

Pelaksanaan rangkaian gentian optik dasar laut ke Pulau Tioman di bawah inisiatif Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) seliaan MCMC menjadi pencetus kepada usaha penyediaan rangkaian gentian optik di seluruh kampung di Pulau Tioman. Projek berkenaan yang membangunkan rangkaian gentian optik dari Kuala Rompin ke Kampung Tekek sejauh 75.2km telah siap sepenuhnya pada bulan September 2018.

Selain itu, projek gentian optik Kg Mukut sejauh 8.5km telah menghubungkan rangkaian gentian optik dari Japamala ke Kg Mukut melalui Kg Nipah dan Kg Sarang Burung telah siap dilaksanakan oleh Telekom Malaysia (TM) pada Disember 2022 dan menjadi pelengkap kepada semua kampung di Pulau Tioman tersedia dengan rangkaian gentian optik.

Dengan semua kemudahan infrastruktur yang tersedia di bawah program JENDELA ini, diharapkan ia dapat merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat selain merancakkan lagi ekonomi digital komuniti dan industri pelancongan Pulau Tioman.
 
 
Related Content
Share this article
Follow