Lawatan Kerja ke Melaka Waterfront Economic Zone dan Pusat Internet Komuniti (PIK) Batang Melaka

Perancangan yang teliti dan inklusif adalah penting dalam usaha merangka suatu pelan pembangunan infrastruktur digital di sesebuah kawasan. Ia menjamin pembangunan yang dirancang akan lebih berdaya saing serta mampan bagi menarik minat pelabur dan manfaat perkhidmatan komunikasi yang dijelmakan dapat dirasai sebaik mungkin oleh rakyat.

Dalam hal ini, MCMC telah membangunkan Garis Panduan Pembangunan Infrastruktur Komunikasi (GPP-I) sebagai rujukan kepada Pihak Berkuasa Negeri dan Tempatan serta pihak berkepentingan lain dalam merancang dan menyediakan keperluan infrastruktur digital di Malaysia. Antara elemen penting yang digariskan oleh GPP-I ialah pengutamaan penggunaan gentian optik, penyediaan tapak rizab khusus bagi infrastruktur komunikasi, perkongsian infrastruktur dan akses yang terbuka dalam penyediaan perkhidmatan komunikasi.

Sebagai antara negeri terawal menerima pakai GPP-I, Negeri Melaka berada dalam landasan yang tepat dalam usahanya merancang pembangunan infrastruktur digital khususnya di kawasan Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).

Sekitar lawatan kerja YBrs. Pengerusi dan delegasi MCMC ke tapak M-WEZ bersama Majlis Pembangunan Melaka Waterfront Economic Zone (MPM-WEZ). Selain melihat tapak pembangunan M-WEZ, kedua-dua pihak turut membincangkan perincian rancangan infrastruktur digital khususnya dalam aspek pembinaan, koordinasi dan pengurusan.

Dalam lawatan kerja ke Melaka juga, delegasi MCMC telah mengadakan lawatan ke Pusat Internet Komuniti (PIK) Batang Melaka, Selandar Melaka.

Pusat Internet Komuniti (PIK) berperanan membantu usahawan kecil terutamanya di luar bandar untuk menambah pendapatan dan memperluaskan pasaran produk mereka. Melalui PIK, usahawan boleh memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui latihan keusahawanan dan bimbingan yang dilaksanakan oleh MCMC.

Ramai usahawan-usahawan kecil PIK telah menempa kejayaan dan di antaranya ialah Usahawan Kerepek Pisang yang telah memasarkan produk rempeyek serta kuih tart dan pengusaha Bengkel Besi yang mempromosikan produk kimpalan seperti ampaian, grill pintu tingkap dan rak sehingga pasaran luar Melaka sekaligus meningkatkan sumber pendapatan sekeluarga.
 
 
Related Content
Share this article
Follow