Sektor

Pemberian Perkhidmatan Sejagat

 

Peraturan PPSLaporan Tahunan PPS


GAMBARAN KESELURUHAN
 

Objektif utama program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) adalah untuk menyediakan capaian telefoni asas dan perkhidmatan internet secara kolektif dan individu di seluruh negara. Pemberi  Perkhidmatan lebih cenderung memberi tumpuan di kawasan yang lebih menguntungkan dari segi komersial dan ini telah mewujudkan jurang antara golongan “berada” di kawasan bandar dan golongan “kurang berada” di kawasan luar bandar.  Ketidakseimbangan dalam capaian komunikasi yang sering dirujuk sebagai Jurang Digital ini boleh membawa kesan sosial yang merumitkan jika tidak ditangani di peringkat nasional.

Inisiatif-inisiatif PPS hanya boleh dilaksanakan di kawasan yang kurang liputan perkhidmatan dan kepada kumpulan yang kurang diberi perkhidmatan dalam masyarakat. Kawasan yang kurang liputan perkhidmatan bermaksud;

  1. Berhubung dengan perkhidmatan Rangkaian Telefon Bersuis Awam (RTBA) atau lebih dikenali sebagai perkhidmatan telefoni asas, mana-mana kawasan yang kadar penembusan untuk pelanggan RTBA di Malaysia ialah dua puluh peratus di bawah kadar penembusan RTBA nasional atau yang perkhidmatan RTBA tidak disediakan secukupnya;
  2. Berhubung dengan perkhidmatan capaian jalur lebar, mana-mana kawasan yang kadar penembusan untuk pelanggan jalur lebar di Malaysia ialah di bawah kadar penembusan jalur lebar nasional atau yang perkhidmatan capaian jalur lebar tidak disediakan secukupnya;
  3. Berhubung dengan perkhidmatan selular awam, mana-mana kawasan dengan kepadatan penduduk seramai lapan puluh orang setiap satu kilometer persegi atau kurang atau jika perkhidmatan selular awam tidak disediakan secukupnya;
manakala kumpulan yang kurang diberi perkhidmatan dalam masyarakat bermaksud kumpulan orang yang dikaitkan dengan ciri-ciri yang serupa daripada perspektif sosio-kebudayaan atau ekonomi, dalam kawasan yang diberi perkhidmatan, yang tidak mempunyai capaian kolektif dan/atau capaian individu.

Justeru, program PPS merupakan satu alat untuk merapatkan Jurang Digital dengan bertindak sebagai mekanisme untuk menyalurkan pelaburan sektor swasta ke kawasan luar bandar yang tidak menjana keuntungan melalui Kumpulan Wang PPS berlandaskan Seksyen 204, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Sumbangan Kumpulan Wang PPS oleh pemegang lesen adalah berdasarkan kepada tiga faktor seperti yang tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2002 (Peraturan PPS) iaitu:
  1. Senarai perkhidmatan dinamakan;
  2. Faktor penentu; dan
  3. 6% daripada hasil bersih ditentukan.

Menurut Peraturan 27 dalam Peraturan PPS, semua pemegang lesen (kecuali pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (PPAK)), sekiranya jumlah hasil bersih yang diperolehi bagi tahun kalendar sebelumnya yang terbit daripada perkhidmatan dinamakan adalah melebihi ambang hasil minimum yang ditetapkan pada RM2 juta, 6% daripada hasil bersih yang ditentukan perlu disumbangkan kepada Kumpulan Wang PPS.

Sumbangan kepada Kumpulan Wang PPS adalah dikira berdasarkan penyata hasil bersih daripada perkhidmatan dinamakan yang dikemukakan oleh semua pemegang lesen. Ini merupakan satu tanggungjawab tahunan dan pemegang lesen dikehendaki mengemukakan penyata hasil dan penyata kewangan teraudit bagi tahun kalendar yang lepas sebelum 30 Jun setiap tahun.

Berdasarkan kepada Peraturan 36, Peraturan PPS, sumbangan dan perbelanjaan termasuk kesemua inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan di bawah program PPS akan diperincikan di dalam Laporan PPS yang diterbitkan secara tahunan oleh pihak Suruhanjaya.

  
Kandungan Berkaitan
Kongsi artikel ini
Follow