Media & Events

Tawaran Pakej Khas Untuk Rakyat Sempena Bulan Kebangsaan

18 Aug 2021
CYBERJAYA, 18 Ogos 2021 --- Malaysia Prihatin sekali lagi dipilih menjadi tema sambutan Bulan kebangsaan tahun ini yang membawa maksud cukup mendalam kepada rakyat Malaysia dan selari dengan situasi seluruh rakyat Malaysia yang masih berdepan dengan pandemik COVID19.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama dengan industri, sentiasa prihatin dan berganding bahu dalam memastikan wujud keseimbangan antara melindungi nyawa dan kelangsungan hidup rakyat.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan, pihak industri telekomunikasi dan penyiaran telah menyediakan beberapa tambah nilai pakej untuk kemudahan rakyat seperti berikut:

a) Tawaran Pakej Peranti RM1 Malaysia Prihatin bagi membolehkan semua rakyat Malaysia memiliki atau menaik taraf pelbagai peranti mudah alih yang menyokong 4G dan VoLTE, bermula dengan RM1. Syarikat telekomunikasi yang akan mengambil bahagian ialah Celcom, Digi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile and YTL;

b) Pemberian data harian sebanyak 1GB oleh Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan Telekom Malaysia secara percuma kepada semua pengguna perkhidmatan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021. Selain itu, bagi inisiatif Learn From Home (LFH) oleh pihak YTL dalam menyokong sistem pendidikan, ia juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021;

c) Sokongan berterusan bagi pakej Jaringan Prihatin yang dilanjutkan sehingga 30 September 2021 untuk golongan B40; dan

d) Pemberian akses tontonan secara percuma beberapa saluran premium terpilih oleh syarikat penyiar swasta seperti Astro dan Unifi kepada pelanggan mereka. Astro juga menyediakan saluran percuma, Astro 25 di saluran 100, yang akan menyajikan kandungan tempatan berkisar kepada pengorbanan, semangat patriotik serta kejayaan yang telah Malaysia kecapi.

Pakej-pakej yang ditawarkan ini dijangka memberi kemudahan dan manfaat kepada rakyat untuk menghadapi perubahan norma baharu dalam pendidikan, pekerjaan dan banyak lagi, di samping meringankan beban perbelanjaan para pengguna.

 

PDF

Share this article
Follow