Media & Events

Semua Kerajaan Negeri Diseru Permudahkan Pembinaan Infrastruktur Telekomunikasi Bagi (Cont’)

05 Jun 2021
SEMUA KERAJAAN NEGERI DISERU PERMUDAHKAN PEMBINAAN INFRASTRUKTUR TELEKOMUNIKASI BAGI MEREALISASIKAN POLISI PERKHIDMATAN TELEKOMUNIKASI SEBAGAI UTILITI AWAM DENGAN KADAR SEGERA


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyeru semua kerajaan negeri mengambil tindakan segera untuk mempermudahkan inisiatif pembangunan infrastruktur telekomunikasi yang harus dipercepatkan di negeri masing-masing. Tindakan ini akan dapat meningkatkan peluang menarik pelaburan di samping menjana keupayaan rakyat di negeri masing-masing agar dapat melibatkan diri secara aktif dalam transformasi era digital yang sedang pesat berkembang.

Seruan ini juga dibuat oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia YB Datuk Saifuddin Abdullah semasa sidang media dalam talian selepas menghadiri Mesyuarat Kabinet semalam. Menurut beliau, Kabinet memperakui perkhidmatan komunikasi sebagai keperluan asas selepas bekalan air dan elektrik. Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan-kerajaan negeri untuk melakukan anjakan dasar dan peraturan bagi memastikan perkhidmatan komunikasi dapat disampaikan kepada seluruh rakyat dengan segera.

Permintaan terhadap perkhidmatan komunikasi telah melonjak dengan ketara ketika rakyat menghadapi normal baharu yang memaksa banyak urusan pekerjaan, pendidikan, jual beli dan interaksi dilakukan secara dalam talian. Keperluan ini tambah mendesak berikutan trend global semasa yang semakin mengunjur ke arah kemajuan berlandaskan teknologi 5G, Revolusi Industri Keempat (4IR) dan Ekonomi Digital.

Malaysia sendiri melakukan persiapan ke arah digitalisasi melalui Pelan Tindakan MyDigital yang telah dilancarkan pada 19 Februari 2021. Antara tunjang utama MyDigital ialah pembinaan infrastruktur digital yang mampan di bawah beberapa inisiatif termasuk Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), penubuhan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk membangunkan rangkaian 5G, merangsang perkhidmatan awan dan pusat data berskala hiper dan menambah kapasiti sambungan gentian optik antarabangsa.

Semua usaha ini berisiko terbantut sekiranya kerajaan-kerajaan negeri gagal melaksanakan perubahan dasar yang bersesuaian dan mengurangkan kos untuk membina infrastruktur ini dengan pantas. Peranan infrastruktur telekomunikasi sebagai keperluan asas telah pun dizahirkan dalam Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan 2011). Bagi mengukuhkan pelaksanaan aspek ini, MCMC baru-baru ini memperkenalkan Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPP-I) untuk mewujudkan peraturan seragam yang boleh dijadikan amalan piawaian oleh semua kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Ini telah diperakui dan diterima di Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-77 pada 2 Mac 2021.

MCMC melalui pejabat-pejabat cawangannya di setiap negeri akan mengadakan rundingan terus dan membantu kerajaan negeri untuk menerapkan GPP-I dan mengkaji semula aspek peraturan dan fi yang dikenakan bagi memastikan semua inisiatif membina infrastruktur komunikasi yang mampan tidak tergendala. Kerjasama kerajaan negeri akan memberi impak positif terhadap tahap kesediaan infrastruktur dan merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat untuk bersiap sedia memanfaatkan transformasi digital.
 

PDF

Share this article
Follow